KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang merampas tiga kontena mengandungi hasilan ikan, pertanian dan haiwan bernilai lebih RM1.03 juta dalam tiga operasi berasingan semalam.
AKPS dalam satu kenyataan berkata, rampasan itu dibuat di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4, Pelabuhan Klang Barat selepas barangan berkenaan didapati dibawa masuk tanpa mematuhi Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
“AKPS Port Klang telah berjaya mengesan dan menyita tiga kontena mengandungi hasilan ikan, pertanian dan haiwan yang cuba dibawa masuk tanpa mematuhi peruntukan Akta 728,” menurut kenyataan itu.
Menurut AKPS, operasi pertama pada jam 10 pagi melibatkan rampasan kontena berisi daging babi sejuk beku (frozen pork) dari Belgium bernilai RM486,658.17 dengan berat kira-kira 27,000 kilogram.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta 728 atas kesalahan tidak mematuhi syarat permit MAQIS,” ujarnya.

Operasi kedua pada jam 11.30 pagi pula membabitkan rampasan kontena mengandungi hasilan pertanian jenis ‘cat litter’ dari China bernilai RM46,414.38 dengan berat 28,001.60 kilogram.
Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta 728 atas kesalahan tiada permit import sah MAQIS.
Sementara itu, operasi ketiga pada jam 12.30 tengah hari melibatkan rampasan kontena berisi hasilan ikan jenis pangasius fillet dari Vietnam bernilai RM490,726.29 dengan berat 24,920 kilogram.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 13 Akta 728 kerana mengemukakan dokumen mengelirukan,” ujarnya.
Secara keseluruhan, AKPS memaklumkan nilai rampasan bagi ketiga-tiga kes dianggarkan RM1,031,798.84 dengan berat keseluruhan 79,921.60 kilogram.
“AKPS Pelabuhan Klang akan terus komited membanteras kemasukan barangan larangan dan dagangan yang tidak mematuhi peraturan demi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.















