Dewan Bahasa dan Pustaka

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjelaskan keputusan Sayembara Penulisan Kreatif DBP yang diumumkan pada 10 Februari lalu dibuat melalui proses penilaian berperingkat.

Dalam masa sama, DBP dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu juga melibatkan panel penilai dalam kalangan tokoh dan pakar sastera yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Jelasnya, keputusan yang diumumkan merupakan hasil penelitian menyeluruh dan pertimbangan secara bersama oleh panel penilai terhadap aspek mutu, kekuatan idea, keaslian, nilai estetika, teknik penulisan serta impak karya.

“Panel bersepakat bahawa bagi edisi kali ini, tiada karya yang benar-benar mencapai tahap kecemerlangan tertinggi untuk melayakkan penerima tempat utama bagi semua kategori, manakala kategori Drama Pentas, tiada karya yang memenuhi piawaian untuk dianugerahkan tempat pertama, kedua dan ketiga.

“Laporan ringkas panel penilai telah diterbitkan melalui JendelaDBP untuk rujukan umum,” katanya.

Kenyataan itu bagi menjelaskan kritikan dalam kalangan penggiat dan pemerhati sastera terhadap DBP yang tular di dalam media sosial berhubung keputusan Sayembara Penulisan Kreatif DBP yang diumumkan minggu lalu.

Ia berikutan ketiadaan pemenang tempat pertama bagi semua kategori, serta ketiadaan pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi kategori Drama Pentas pertandingan tersebut.

Sementara itu, DBP berkata, keputusan untuk tidak memberikan hadiah utama bukanlah sesuatu yang dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya mencerminkan iltizam DBP dalam memelihara piawaian, integriti dan kredibiliti sayembara.

Jelasnya, matlamat utama penganjuran sayembara itu adalah untuk mengangkat karya bermutu tinggi serta memperkukuh perkembangan sastera kebangsaan.

Sehubungan itu, DBP memaklumkan bahawa Sayembara Penulisan Kreatif DBP akan diteruskan tahun ini dengan penambahbaikan dari segi pengurusan serta penyampaian maklumat bagi memastikan kefahaman yang lebih jelas kepada semua pihak.

“Sayembara ini dilaksanakan sepenuhnya menggunakan peruntukan DBP, dan peruntukan tersebut akan dikekalkan untuk edisi seterusnya, selaras dengan hasrat DBP untuk terus mencari, menilai dan mengetengahkan karya sastera yang bermutu tinggi,” katanya.

Tambah kenyataan itu, DBP sentiasa menghargai pandangan serta kritikan membina daripada semua pihak dan beriltizam untuk terus menambah baik penganjuran sayembara tersebut pada masa hadapan.

Katanya, ia demi memastikan sayembara itu kekal bermanfaat dan berwibawa, selain terus menjadi wadah penting untuk mengangkat karya bermutu serta memperkukuh ekosistem sastera tanah air secara adil, berintegriti dan berwibawa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast