Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki beramah mesra bersama tetamu pada majlis perasmian Kampung Angkat Madani di Kampung Sungai Buah, Dengkil. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 FEBRUARI 2026

SEPANG — Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyerahkan kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan demonstrasi terhadapnya sambil menegaskan tindakan berhimpun adalah hak dalam sebuah negara demokrasi.

Bagaimanapun, beliau menekankan sebarang dakwaan perlu disertakan bukti dan disalurkan melalui saluran undang-undang kepada pihak berkuasa.

“Terpulang kalau nak berhimpun, nak berhimpun pun saya tak kisah. Ini negara bebas, bukan? Saya juga ada kebebasan untuk bercakap, mereka juga ada kebebasan untuk bercakap.

“Tetapi ingat, jika ada sebarang bukti, serahkan kepada pihak berkuasa. Itu sahaja. Seterusnya, ada apa lagi mahu tanya?” soalnya pada sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat Madani di Balai Raya Kampung Sungai Buah, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai demonstrasi berkenaan, Azam enggan mengulas panjang sambil menyatakan perkara sedemikian bukan kali pertama berlaku terhadapnya.

“Saya tak mahu komen. Demonstrasi terhadap saya sudah banyak kali berlaku. Ini bukan kali pertama, bukan? Semak rekod, ini bukan kali pertama,” katanya.

Beliau turut menegaskan, keputusan untuk berhimpun tidak memberi kesan kepadanya dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak penganjur.

“Terpulang kepada mereka jika mahu berhimpun, mereka mahu berdemonstrasi itu hak mereka. Bukan urusan saya pun,” katanya mengakhiri sidang media.

Sementara itu, satu himpunan dikenali sebagai Tangkap Azam Baki dijadual berlangsung petang ini di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo bermula jam 4 petang.

Menurut penganjur yang menggelarkan diri sebagai sekretariat #TangkapAzamBaki, protes tersebut diadakan bagi menggesa siasatan terhadap beliau susulan kontroversi berkaitan pegangan saham yang dibangkitkan sebelum ini.

Pada Khamis, laporan Bloomberg turut mendakwa SPRM termasuk pegawai kanan suruhanjaya itu bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam beberapa tindakan untuk menyingkirkan pesaing serta mengambil alih syarikat secara paksa, selain melaporkan isu pemilikan saham bernilai jutaan ringgit yang menjadi perhatian umum ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast