Tong gas yang dirampas oleh KPDN di sebuah premis menerusi serbuan di Kajang, baru-baru ini. Gambar: Ihsan KPDN

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyimpanan haram gas Petroleum Cecair (LPG) bernilai lebih kurang RM83,116 menerusi satu operasi serbuan di sebuah premis di Kajang baru-baru ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam berkata, berdasarkan maklumat risikan mendapati premis tersebut menyimpan barang kawalan tanpa lesen sah.

“Semasa ketibaanpasukan di lokasi, premis yang berpagar zink tersebut didapati berada dalam keadaan berkunci sebelum pasukan serbuan berjaya memasuki kawasan berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

“Pasukan serbuan menemui sebuah lori jenis Daihatsu yang membawa sebanyak 110 tong LPG jenama BHP berkapasiti 14 kilogram (kg) manakala terdapat tambahan 80 tong LPG berkapasiti 14kg dan 50kg di kawasan pelantar premis tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, ketika serbuan pada 9 Febuari itu, terdapat dua individu warga tempatan di lokasi iaitu seorang lelaki dan perempuan berperanan sebagai pemandu lori juga kereta.

Siasatan awal mendapati bekalan berkenaan diperoleh daripada sebuah syarikat di Bandar Rinching, Semenyih.

Justeru, katanya, penguat kuasa menyita semua tong gas LPG bersama sebuah lori.

Dalam masa yang sama, satu arahan di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] telah dikeluarkan bagi mengemukakan dokumen berkaitan serta pengisytiharan stok barang kawalan.

Azman berkata, kes disiasat di Bawah Seksyen21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana
memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan serta menjalankan urus niaga barang berjadual tanpa lesen yang sah daripada Pengawal Bekalan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast