KUALA LUMPUR — Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas perkembangan terbaharu melibatkan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa segera mempunyai ‘rumah baharu’ selepas dipecat sambil menyifatkan keadaan tersebut sebagai petunjuk wujud perancangan awal.
Naib Ketua Bersekutu Bersatu Malaysia, Datuk Seri R Sanjeevan berkata, situasi itu menimbulkan persoalan mengenai percaturan politik yang telah lama diatur di belakang tabir.
“Semalam dipecat dan tiba-tiba hari ini ‘rumah baharu’ sudah siap. Mana mungkin sebuah ‘rumah baharu’ boleh siap dalam 24 jam kalau tidak dilukis pelannya berbulan-bulan, malah bertahun-tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, rekod tindakan serta langkah politik tidak mudah dipadam atau dilupakan sekali gus memberi gambaran setiap percaturan mempunyai jejak tersendiri.
Sanjeevan turut mendakwa wujud gerakan tersusun sejak sekian lama untuk menggugat kepimpinan parti.
“Lebih dua tahun sibuk mengatur langkah di belakang tabir, menanam benih curiga, membina pakatan sulit dengan harapan takhta akan bergoyang.
“Akhirnya apa jadi? Bukan takhta yang runtuh, tapi empunya angan yang tersungkur.
“Bak kata pepatah, ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga ke bumi,’” katanya sinis.
Beliau menambah, kejatuhan itu berpunca daripada keyakinan melampau terhadap kedudukan sendiri sekali gus menjadi peringatan dalam gelanggang politik yang sarat percaturan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, politik bukan ruang untuk bermuka-muka dan menikam dari belakang, sambil memberi amaran terhadap akibat niat yang menyimpang.
“Politik bukan medan untuk tikam dari belakang sambil senyum di hadapan. Kalau niat sudah lama menyimpang, janganlah hairan bila langkah sendiri yang memakan tuan,” katanya lagi.
Terdahulu, pada sidang media di majlis taklimat ‘Reset Politik’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya pada Sabtu lalu, Hamzah memberi bayangan mengenai kemungkinan pembentukan sebuah ‘rumah baharu’ dalam perjalanan politiknya.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, istilah berkenaan tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu, sebaliknya mungkin melibatkan penyertaan dalam parti sedia ada termasuk Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau Pas.
Jumaat lalu, Hamzah dipecat keahlian parti berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan dibuat oleh Lembaga Disiplin, menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. — MalaysiaGazette
















