Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Pendedahan agensi media antarabangsa, Bloomberg berkaitan Ketua Pesuruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki perlu dinilai berdasarkan fakta dan bukti bukan sekadar hanya sekadar laporan media.

Menurut peguam, Shamsuddin Nawawi, terdapat dua isu utama yang perlu difahami orang ramai iaitu berkaitan transaksi saham oleh Azam dan dakwaan mengenai kewujudan ‘korporat mafia’.

“Isu pertama ialah pengakuan bahawa beliau pernah membeli saham di Bursa Malaysia dan kemudiannya menjual semula pegangan tersebut,” tulisnya dalam Facebook beliau.

Shamsuddin berkata, perkara yang dipersoalkan ialah sama ada sebagai penjawat awam, Azam dibenarkan membeli saham melebihi RM100,000 iaitu sekitar RM800,000.

“Perkara ini tertakluk kepada Tatakelakuan dan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam,” ujarnya.

Menurut beliau, susulan isu tersebut, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan di bawah kuasa Ketua Setiausaha Negara bagi menguruskan perkara berkenaan.

Mengulas isu kedua, Shamsuddin berkata, pendedahan Bloomberg mengenai ‘korporat mafia’ merupakan satu tuduhan berat yang boleh menjurus kepada perbuatan jenayah.

“Persoalannya, sama ada dakwaan itu melibatkan perbuatan Azam sendiri atau individu lain dalam dunia korporat,” katanya.

Beliau berkata, laporan tersebut turut menyebut mengenai Seksyen D dalam SPRM yang menimbulkan persoalan sama ada ia membabitkan Azam atau pihak lain.

Shamsuddin turut merujuk laporan media yang memaklumkan bahawa polis telah memulakan siasatan terhadap artikel Bloomberg berkaitan pemilikan saham.

“Saya sanjung tindakan PDRM. Apabila Bloomberg membuat tuduhan atau tohmahan, ia tidak sepatutnya hanya dibuat dalam satu artikel. Buat laporan polis rasmi sebagai pengadu dan bawa bukti,” katanya lagi.

Menurut beliau, perkara sama perlu dilakukan terhadap dakwaan ‘korporat mafia’ dan isu Seksyen D, SPRM dengan Bloomberg tampil sebagai pihak yang mengemukakan bukti kukuh.

“Bloomberg bebas menjalankan laporan penyiasatan tetapi mereka juga perlu berani menjadi pengadu, disoal siasat dan memberi kenyataan supaya kebenaran sebenar dapat didedahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, mana-mana sumber tanpa nama yang digunakan dalam laporan berkenaan juga perlu tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.

Beliau turut menegaskan, rakyat menentang rasuah dan salah guna kuasa namun setiap tuduhan perlu disokong dengan bukti yang lengkap dan mantap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast