Warga Indonesia yang ditahan dalam satu operasi rondaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Besar, Sepang, Sabtu, lalu.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 warga Indonesia termasuk seorang dipercayai tekong darat ditahan dalam satu operasi rondaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Jalan Besar, Sepang, Sabtu lalu.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Amanjit Singh berkata, dalam operasi kira-kira pukul 6 pagi pada Sabtu, sepasukan anggota dari Batalion 4 PGA telah menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan berkenaan sebelum berjaya menahan 10 lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa warga Indonesia berusia antara 23 hingga 55 tahun.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati, kesemua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai sedang merancang untuk pulang ke negara asal melalui laluan laut yang tidak diwartakan.

“Susulan siasatan lanjut di lokasi kejadian, pasukan turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 23 tahun yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat atau transporter bagi kumpulan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua 11 tangkapan bersama rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) serta Akta Imigresen 1959/1963.

Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah sebuah kenderaan jenis Honda CR-V dan sebuah telefon bimbit jenis Samsung Galaxy dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM120,350.00.

Dalam pada itu, Amanjit menyeru orang ramai agar terus memberikan kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada PDRM berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast