KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin telah memfailkan permohonan supaya lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Permohonan itu dikemukakan atas alasan kes berkenaan melibatkan persoalan perundangan yang rumit termasuk isu tafsiran undang-undang serta keperlembagaan peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Shamsul Iskandar sebelum ini mengaku tidak bersalah pada 3 Disember lalu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan rasuah membabitkan jumlah RM176,829.03 berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Beliau kemudian didakwa dengan satu lagi pertuduhan pada 5 Disember melibatkan jumlah RM64,924 bagi kes yang sama.
Dalam afidavit sokongan, Shamsul Iskandar berkata, perbicaraan kes itu dijangka membabitkan tafsiran teknikal undang-undang khususnya berkaitan sumbangan politik dan pemakaian Akta 694, yang memerlukan pengendalian di peringkat Mahkamah Tinggi.
Menurutnya, pengalaman dan kepakaran hakim Mahkamah Tinggi amat penting bagi memastikan perjalanan perbicaraan berjalan teratur selain mengelakkan pembaziran masa serta kos.
Beliau turut menyatakan keyakinan perbicaraan di peringkat lebih tinggi membolehkan isu utama dalam kes tersebut diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan.
“Keputusan mahkamah atasan akan menjadi rujukan penting kepada mahkamah lain pada masa depan,” katanya dalam afidavit berkenaan.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad, ketika dihubungi turut mengesahkan permohonan pemindahan kes itu telah difailkan pada 4 Februari lalu.
Menurutnya, Mahkamah Tinggi menetapkan 9 April depan sebagai tarikh pendengaran permohonan selepas prosiding pengurusan kes dijalankan menerusi e-Review hari ini.
Amer Hamzah berkata, antara asas permohonan itu ialah kewujudan persoalan undang-undang luar biasa yang tidak sesuai diputuskan di peringkat Mahkamah Sesyen.
Beliau turut memaklumkan, kes berkenaan mempunyai kepentingan awam memandangkan ia membabitkan bekas pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri.
Mengikut pertuduhan, Shamsul Iskandar didakwa menerima wang tunai RM100,000 daripada ahli perniagaan, Albert Tei sebagai balasan membantu syarikat berkepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesalahan itu didakwa berlaku di tempat letak kereta YTL Majestic Hotel, Jalan Sultan Hishamuddin, pada 24 November 2023.
Beliau juga didakwa menerima RM40,000 bagi tujuan sama di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, pada 29 Januari 2024.
Selain itu, tertuduh berdepan dua lagi pertuduhan berkaitan penerimaan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 serta RM22,249.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara Disember 2023 hingga Mac 2024 di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Semua pertuduhan utama dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama. -MalaysiaGazette
















