KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka satu kertas siasatan berhubung perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Ia susulan beberapa aduan dikemukakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung dakwaan ketirisan dan proses kelulusan yang meragukan.
Menurut sumber, siasatan itu dimulakan selepas beberapa NGO membuat aduan rasmi berhubung perjanjian yang didakwa dimeterai secara tergesa-gesa dan berat sebelah sehingga berpotensi memberi implikasi kewangan kepada kerajaan.
Berdasarkan aduan serta dokumen yang diserahkan oleh beberapa pihak, SPRM difahamkan telah mendapatkan beberapa dokumen berkaitan perjanjian tersebut daripada Kementerian Ekonomi pada 13 Februari 2026 lalu bagi membantu siasatan.
Sumber turut memaklumkan, kes berkenaan berkait isu ketirisan dana kerajaan membabitkan peruntukan besar berjumlah RM1.1 bilion.
Maklumat awal mendapati, cadangan perjanjian itu dikatakan tidak mendapat persetujuan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) namun ia tetap dimeterai dalam tempoh singkat.
“Perkara ini akan disahkan menerusi keterangan saksi-saksi utama yang terlibat bagi menentukan sama ada wujud pelanggaran prosedur atau salah guna kuasa,” kata sumber.
Dalam perkembangan sama, beberapa individu dikatakan telah dilantik memegang jawatan tinggi dalam syarikat asing terbabit selepas meninggalkan kementerian berkaitan sekali gus menimbulkan persoalan konflik kepentingan yang wajar diberi perhatian dalam siasatan ini.
SPRM dijangka akan memanggil beberapa saksi termasuk Ketua Setiausaha kementerian terlibat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pelaksanaan dan kelulusan perjanjian tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan pembukaan kertas siasatan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan. – MalaysiaGazette
















