KUALA LUMPUR — Kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan bukan sekadar episod politik biasa, sebaliknya berpotensi melemahkan parti jika gagal diurus dengan disiplin dan kebijaksanaan.
Menurut Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim, sejarah politik Melayu menunjukkan banyak parti tumbang bukan kerana tekanan luar, tetapi akibat kegagalan mengawal perpecahan dalaman sendiri.
“Ribut dalaman yang sedang melanda parti bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam kitaran politik. Sepanjang sejarah politik Melayu, kita telah menyaksikan parti lahir, berkembang, diuji dan ada yang tumbang bukan kerana musuh di luar, tetapi kerana kegagalan mengurus perbezaan di dalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hishamuddin berkata demikian mengulas kemelut dalaman yang melanda partinya sehingga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata pengalaman panjang dalam politik membuktikan ujian sebenar sesebuah parti berlaku ketika berdepan konflik, bukannya ketika berada dalam keadaan selesa, justeru ahli perlu mengambil iktibar daripada perkembangan semasa.
“Dalam politik Melayu, apabila persaingan dalaman tidak diurus dengan disiplin dan hikmah, yang untung selalunya bukan kita tetapi pihak lawan.
“Perpecahan jarang sekali menguatkan mana-mana pihak dalam jangka panjang,” katanya lagi.
Beliau turut menempelak budaya politik yang bergantung kepada persepsi luar dan gema media sosial, sebaliknya menegaskan kekuatan sebenar parti hanya boleh diukur melalui struktur organisasi dan proses rasmi.
“Suara yang lantang di luar belum tentu mencerminkan kekuatan sebenar di dalam. Sokongan sebenar diukur melalui saluran parti, mesyuarat rasmi dan proses organisasi bukan semata-mata gema media sosial atau persepsi semasa,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa ahli parti mengekalkan disiplin, menghormati keputusan organisasi dan menolak tindakan beremosi yang boleh menggugat kestabilan menjelang cabaran politik akan datang.
“Kesabaran bukan kelemahan. Disiplin bukan ketakutan. Kebijaksanaan ialah memahami masa untuk bersuara dan masa untuk memperkukuh barisan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hishamuddin memberi peringatan bahawa kemelut semasa bukan penamat kepada parti, namun boleh menjadi titik lemah jika tidak ditangani dengan matang.
“Ribut ini akan berlalu. Persoalan sebenar ialah siapa yang masih teguh berdiri, bersatu dan berdisiplin apabila keadaan kembali tenang,” katanya.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, keputusan itu diputuskan Lembaga Disiplin seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti tersebut.
Hamzah dilaporkan tidak hadir selepas dipanggil hadir ke prosiding bersama Lembaga Disiplin parti itu dijadual berlangsung di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya.
Lembaga Disiplin Bersatu dalam notis panggilan sebelum ini memaklumkan Hamzah dipanggil terkait isu kritikan dan serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin serta rundingan membabitkan presiden parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Sebelum ini, pelbagai desakan daripada pemimpin parti itu mahu supaya keahlian Hamzah dipecat selepas didakwa menjadi dalang kepada gerakan menggesa pengunduran Muhyiddin.
Hamzah yang juga ketua pembangkang Parlimen turut didakwa terbabit dalam gerakan mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih dan menukar kepimpinan Bersatu ketika ini. – MalaysiaGazette
















