KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan sebuah khemah yang dipasang di atas laluan pejalan kaki di Jalan Bukit Bintang berhadapan Bangunan Yayasan Selangor semalam selepas mendapati berlaku pelanggaran peraturan.
Selain tiada wakil pihak terlibat tampil memberi penjelasan meskipun telah menunggu lebih 30 minit, katanyab dalam kenyataan.
DBKL memaklumkan, tindakan itu dibuat susulan hantaran di media sosial berhubung penguatkuasaan yang dilaksanakan di lokasi berkenaan.
Hasil pemantauan di lapangan mendapati, terdapat pemasangan khemah di atas laluan pejalan kaki yang merupakan kawasan awam dan perlu sentiasa bebas daripada sebarang halangan bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.
“Petugas DBKL telah hadir ke lokasi untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat. Namun, selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil tampil memberikan kerjasama atau penjelasan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, DBKL mengambil tindakan menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras dengan peruntukan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuatkuasa.
Sepanjang pelaksanaan tindakan penguatkuasaan tersebut, pihak yang bertanggungjawab masih tidak hadir untuk memberikan sebarang penjelasan.
DBKL menegaskan, semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
Menurutnya lagi, penguatkuasaan berkenaan penting bagi memastikan keselamatan awam, ketenteraman bandar serta kelancaran penggunaan ruang awam terus terpelihara demi kepentingan bersama warga kota.
Dalam pada itu, DBKL menjelaskan pihaknya tidak pernah menghalang aktiviti dakwah di ruang awam namun semua aktiviti perlu dilaksanakan mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Tambah kenyataan itu, dalam masa terdekat, pihak pengurusan DBKL akan mengadakan perjumpaan dengan Multiracial Reverted Muslims (MRM) bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang serta memastikan situasi sama tidak berulang pada masa hadapan. – MalaysiaGazette
















