KUALA LUMPUR – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh dihukum berdasarkan sentimen atau dorongan politik akan ditentukan oleh rakyat yang menilai rekod, bukan dengan kata-kata, kata Datuk Dr Ibrahim Ali.
Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu berkata, kenyataan tersebut mungkin kelihatan baik di atas kertas, namun dalam politik, masyarakat menilai konsistensi dan rekod lampau pemimpin.
“Jangan bercakap soal prinsip kalau rekod sendiri bercanggah. Rakyat bukan lupa, rakyat bukan pekak. Rakyat simpan semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim turut mengingatkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara terbuka berikrar mahu “menangkap Azam Baki” sekiranya memenangi pilihan raya itu.
“Ucapan itu bukan cerita warung. Ia dibuat di pentas, direkod dan disiarkan.
“Jadi, saya tanya secara terus, waktu itu bukan dorongan politik? Atau dorongan politik hanya halal ketika jadi pembangkang dan haram bila sudah jadi kerajaan?” soalnya merujuk kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Terdahulu, Anwar ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan program Ihya Ramadan, hari ini berkata, isu membabitkan Azam mesti disiasat berlandaskan undang-undang, bukannya digerakkan oleh sentimen atau persepsi semata-mata.
Tegasnya, proses itu perlu dilakukan sebelum sebarang tindakan dibuat terutama membabitkan penjawat awam yang telah lama berkhidmat dan berkorban tenaga dalam melaksanakan amanah negara.
Mengulas lanjut Ibrahim berkata, prinsip tidak seharusnya berubah mengikut kedudukan kuasa dan jawatan.
Katanya, rakyat kini boleh membandingkan kenyataan lama dan baharu dalam masa beberapa saat dan era “orang mudah lupa” sudah berakhir.
Mengulas pandangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bahawa isu rasuah tidak wajar dipolitikkan, Ibrahim berkata, rasuah sememangnya berkait rapat dengan politik kerana ia melibatkan amanah dan kuasa mengurus negara.
“Kalau rasuah tak boleh dibincang dalam politik, itu namanya politik kosong. Politik bukan pertandingan siapa pandai bercakap, tetapi soal amanah dan kuasa,” katanya.
Beliau turut menyentuh pandangan Malaysia Corruption Watch (MCW) yang mahu institusi seperti SPRM diperkukuh.
Ibrahim berkata, beliau bersetuju institusi perlu diperkasa, namun menegaskan institusi yang kukuh tidak seharusnya takut kepada soalan atau kritikan.
“Jangan jadikan alasan ‘pertahan institusi’ untuk lari daripada konsistensi. Ketelusan tidak melemahkan institusi. Yang melemahkan ialah sikap pilih bulu atau kepimpinan yang tiada integriti,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyifatkan badan pemantau seperti Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang sebelum ini lebih tegas dan berperanan aktif dalam membanteras rasuah.
Ibrahim menegaskan, dalam Islam, konsep amar makruf nahi mungkar bukan bersifat bermusim atau terhad ketika kempen, sebaliknya wajib dilaksanakan sama ada ketika menjadi pembangkang mahupun kerajaan.
“Putra tidak main dua standard. Kalau salah tetap salah, kalau benar tetap benar, tidak kira kawan atau lawan, tidak kira siapa duduk di Putrajaya,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa pendiriannya dibuat secara terbuka demi menjaga integriti negara, sambil menegaskan prinsip tidak seharusnya tunduk kepada jawatan atau kuasa.
“Prinsip, pada saya, tidak tunduk kepada jawatan, tidak tunduk kepada kuasa dan tidak tunduk kepada sesiapa, dulu, kini dan selamanya, insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette















