KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa dakwaan dua kes rasuah melibatkan beliau adalah fitnah oleh pihak yang terdesak.
Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, tidak seperti kes lain, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang bukti berhubung dakwaan rasuah terhadapnya itu.
Kata beliau, tidak ada rampasan ratusan juta atau jongkong emas serta tidak ada bukti ratusan juta di dalam akaun bank beliau bersabit tuduhan rasuah tersebut.
“Satu bukti pun tidak ada tetapi beriya-iya dijaja jadi bahan berita.
“Ini masalahnya apabila ada pihak yang terdesak menggunakan fitnah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan merujuk kepada dua tuduhan salah laku yang dikaitkan dengan beliau iaitu perjanjian negara dengan ARM, syarikat cip semikonduktor gergasi dunia serta projek solar terbesar 750 MW oleh UEM Lestra.
Menurut Rafizi, dalam kedua-dua kes itu, beliau dituduh dengan nilai rasuah RM3.6 bilion iaitu jumlah yang jauh lebih tinggi berbanding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (RM2.3 bilion).
Sehubungan itu, Rafizi menyifatkan pihak yang cuba membangunkan skrip fitnah terhadap beliau itu seolah-olah tidak memikirkan bahawa perkara tersebut adalah tidak masuk akal.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan yang mana fitnah kebiasaannya akan berakhir dengan overkill.
“Oleh kerana tidak ada cerita, maka cerita yang dibuat itu perlu diperbesar-besarkan supaya nampak teruk, lama-lama jadi overkill.
“Kami yang GenX ke atas ni dah melalui semua ini zaman reformasi dahulu – fitnah yang menjadi overkill.
“Tilam diusung untuk tunjuk air mani. Semua cerita lucah jadi bahan laporan setiap hari.
“Kami yang rakyat biasa turun membela Anwar Ibrahim yang jadi mangsa fitnah kerana sepak terajang kuasa,” katanya.
Malangnya, dakwa Rafizi, Anwar kini membenarkan fitnah yang overkill dijaja oleh penyokong-penyokongnya setiap hari, kerana kali ini ia digunakan terhadap seorang yang beliau sendiri mengaku menyampah.
“Benarlah manusia ini mudah lupa,” katanya. – MalaysiaGazette
















