Gambar lokasi kebakaran : JBPM Pahang

KUANTAN –  Dua buah rumah kayu hangus dijilat api dalam kebakaran di perkampungan Bukit Ubi di Jalan Datuk Lim Hoe Lek, di sini kira-kira jam 11.37 malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian membabitkan sebuah kediaman berpenghuni dan satu lagi rumah kosong, masing-masing berukuran 20 x 40 kaki per segi.

Bagaimanapun beliau memaklumkan tiada siapa berada di dalam rumah yang dihuni ketika kebakaran berlaku.

“Kebakaran berjaya dikawal dalam masa kira-kira 30 minit, katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulfadli berkata, kebakaran itu marak dengan cepat kerana rumah berstruktur kayu sepenuhnya dan faktor angin yang kuat.

Katanya, anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah ketika dihubungi berkata, mangsa yang terlibat  menyewa rumah pusaka terbabit adalah lelaki warga emas dan tinggal bersendirian.

“Mangsa yang berusia 63 tahun  itu dibantu jiran tetangga dan menumpang di surau berdekatan buat sementara waktu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast