KUALA LUMPUR – Malaysia mengambil maklum keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif global dan sedang menilai secara teliti perkembangan undang-undang serta dasar terkini itu.
Pada masa sama, kerajaan juga meneliti pengumuman terbaharu oleh Presiden Donald Trump yang mengenakan tarif sementara sebanyak 10 peratus dan sedang mengkaji skop serta implikasinya.
“Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini oleh Amerika Syarikat, MITI akui negara itu masih mempunyai mekanisme perundangan lain untuk mengenakan langkah perdagangan, termasuk tarif unilateral, sekiranya ia memilih untuk berbuat demikian.
“Pada peringkat ini, MITI menunggu penjelasan lanjut tentang bagaimana langkah-langkah ini akan dilaksanakan dan sama ada pelarasan tambahan akan menyusul,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menurutnya, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik, namun belum meratifikasikannya, dan kerajaan sedang menilai secara teliti perkembangan undang-undang serta dasar terkini di Amerika Syarikat.
AS kekal sebagai salah satu ekonomi terbesar dunia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar AS$31 trilion.
Pada tahun 2025, jumlah perdagangan antara Malaysia dan AS mencecah kira-kira RM367 bilion, dengan jumlah eksport Malaysia ke AS sebanyak RM233 bilion.
Oleh itu, Amerika Syarikat merupakan rakan dagang yang penting dan telah lama terjalin dengan Malaysia, tambah beliau.
Johari berkata, pendekatan Malaysia adalah jelas dan konsisten dan akan terus komited kepada perdagangan yang terbuka dan berasaskan peraturan, mengekalkan persekitaran perniagaan yang stabil dan boleh diramal, serta melindungi kepentingan pengeksport Malaysia, pelabur antarabangsa, perniagaan yang beroperasi di Malaysia, dan para pekerja di seluruh ekonomi negara.
Pada masa yang sama, ujar beliau, Malaysia akan terus mempelbagaikan hubungan perdagangan serta memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dan pelbagai hala bagi memastikan daya tahan dalam persekitaran perdagangan global yang sentiasa berkembang.
“Kami akan bertindak demi kepentingan terbaik Malaysia sambil mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















