JOHOR BAHRU – Kementerian Pertahanan (Mindef) akan menubuh satu jawatankuasa khas bagi menjalankan siasatan terperinci kematian seorang anggota tentera yang sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, Kuantan, Pahang kelmarin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa berkenaan bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh dilakukan berhubung kematian Truper K Indiran, 22.
“Saya difahamkan bedah siasat baru dibuat pagi ini bagi mengetahui punca sebenar kematian. Setakat ini tiada unsur buli penderaan dan sebagainya yang boleh dikaitkan dengan kematian anggota tersebut.
“Ya, itu saya percaya kita akan buat (jawatankuasa khas) bagi melakukan siasatan dalaman dan menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Back To School Parlimen Pasir Gudang di Dewan Muafakat Bandar Seri Alam di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 200 pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Pasir Gudang menerima sumbanga berkenaan.
Terdahulu semalam, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata, Truper K Indiran dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri pada 18 Februari lalu, di kem terbabit dan dikejarkan ke HTAA untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, anggota terbabit dilaporkan meninggal dunia pukul 4 petang kelmarin.
Katanya, proses bedah siasat terhadap mayat dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan pagi ini.
“Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan fizikal dan kerosakan organ dalaman dialami anggota berkenaan.
“Sehingga kini punca kematian belum dapat dipastikan dan polis sedang menunggu laporan kimia,” katanya.
Sementara itu, keluarga mendiang meminta orang ramai menghentikan spekulasi tentang kematian anak mereka.
Ibunya, S Usha, 52, dilaporkan berkata, dia menolak segala andaian yang mengaitkan kematian anaknya itu akibat dibuli atau penderaan hingga mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sebaliknya kata Usha, hasil bedah siasat yang dijalankan semalam mendapati tiada bentuk kecederaan fizikal yang dialami anak sulung daripada empat beradik itu.- MalaysiaGazette
















