Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Mana-mana anggota mahupun pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang gagal mematuhi arahan mengenai pengecualian menerima laporan daripada orang awam tanpa pematuhan kod etika pakaian boleh dibuang kerja.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah menegaskan, kegagalan menjalankan mana-mana bahagian dalam arahan tersebut akan membolehkan pegawai atau anggota dikenakan tindakan tatatertib.

“Sekiranya terdapat ketidakpatuhan arahan yang telah dikeluarkan, tindakan boleh diambil di bawah peraturan-peraturan pegawai awam, kelakuan tatatertib 1993 serta mekanisme dalaman PDRM sendiri.

“Kegagalan menjalankan mana-mana bahagian dalam arahan ini akan membolehkan pegawai atau anggota dikenakan tindakan tatatertib iaitu ingkar perintah mengikut PPPA 1993.

“Kesalahan dengan enggan menerima laporan polis daripada orang awam hendaklah dilihat suatu kesalahan yang berat sehingga boleh kenakan hukuman buang kerja,” katanya ketika sesi jawapan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh Karpal Singh meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan undang-undang mewajibkan semua balai polis di seluruh negara menerima laporan-laporan polis oleh pihak awam tanpa mengambil kira keadaan pakaian mereka.

Arahan baharu itu dibuat susulan kejadian dua wanita yang terlibat kemalangan jalan raya tetapi tidak dibenarkan membuat laporan kerana tidak mematuhi etika pemakaian, Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata, PDRM telah menetapkan bagi kes kecemasan atau situasi yang memerlukan bantuan serta-merta, keutamaan sepenuhnya hendaklah diberikan kepada kebajikan, keselamatan dan keperluan pengadu tanpa keperluan kepada pematuhan kod etika berpakaian.

“Antara kes yang perlu diberikan pengecualian dan layanan tambahan termasuk kes-kes yang melibatkan jenayah, kemalangan jalan raya dan ancaman keselamatan.

“Terdapat kes-kes tertentu yang kontigensi mendatangkan tekanan emosi atau trauma seperti kejadian rogol, samun, cabul, keganasan rumahtangga dan lain-lain kes,” katanya.

Katanya lagi, arahan baharu bagi pengecualian orang awam mematuhi kod etika pakaian itu sudah dikeluarkan kepada Bukit Aman pada 29 Disember 2025.

“Maklumat tentang ketetapan tersebut telahpun disampaikan kepada semua ibu pejabat kontinjen dan ibu pejabat polis daerah melalui surat edaran jabatan PDRM Bukit Aman pada 29 Disember 2025.

“Ia bagi memastikan pelaksanaan adalah seragam, jelas dan difahami oleh semua pegawai yang terlibat di peringkat pelaksanaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast