Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan mengadakan sesi libat urus strategik sambil bermoreh bersama beberapa pertubuhan dan persatuan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan mengadakan sesi libat urus strategik sambil bermoreh bersama beberapa pertubuhan dan persatuan

KUALA LUMPUR — Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperkukuh pendekatan konsultatif dan inklusif dalam merangka serta memuktamadkan Akta Pekerja Gig menjelang penguatkuasaannya yang dijangka pada penghujung Mac ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan  bersama timbalannya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan telah mengadakan sesi libat urus strategik sambil bermoreh bersama beberapa pertubuhan dan persatuan yang merupakan antara pemegang taruh utama dalam sektor pekerja gig negara.

Antara yang hadir termasuk Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Persatuan Jurusolek Bumiputera Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Jurubahasa dan Penterjemah Bahasa Isyarat Malaysia, Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia serta Gabungan eHailing Malaysia (GEM).

Menurut Ramanan, kehadiran pelbagai persatuan tersebut mencerminkan kepelbagaian sektor dalam ekosistem gig, daripada penghantar makanan dan pemandu e-hailing kepada jurusolek profesional serta komuniti jurubahasa dan orang kurang upaya yang aktif dalam ekonomi gig.

“Perjalanan menggubal satu akta baharu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan penelitian, keseimbangan dan perbincangan mendalam agar kepentingan pekerja dilindungi tanpa menjejaskan kelangsungan industri.

“Sebab itu sokongan dan pandangan konstruktif daripada rakan-rakan industri amat besar maknanya,” katanya dalam kenyataan.

Ramanan berkata, sepanjang sesi tersebut, pihak kementerian membuka ruang seluas-luasnya kepada setiap wakil untuk menyuarakan pandangan, membangkitkan pertanyaan serta mengemukakan cadangan penambahbaikan.

Katanya, perbincangan turut menyentuh isu perlindungan sosial, caruman keselamatan, mekanisme penyelesaian pertikaian, struktur pendapatan yang adil serta peranan penyedia platform dalam memastikan keseimbangan tanggungjawab bersama.

Walaupun umum mengetahui KESUMA dijangka menguatkuasakan Akta Pekerja Gig pada penghujung bulan Mac ini, beliau menegaskan, komitmen kementerian untuk terus turun padang dan mengadakan sesi libat urus secara bersemuka.

“Prinsip saya sentiasa konsisten dan jelas, tiada dasar yang dirangka secara tertutup. Setiap keputusan perlu melalui proses konsultasi yang menyeluruh supaya pelaksanaannya akan berjalan lancar.

“Matlamat kita bukan sekadar meluluskan satu akta, tetapi membina satu kerangka perlindungan yang mampan, progresif dan seimbang untuk pekerja dan industri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast