KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak yang mahu campur tangan mahkamah untuk menilai semula tindakannya dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan terkini Mahkamah Agung AS pada Jumaat lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyerahkan soal pentafsiran keputusan mengenai tarif timbal balas itu kepada mahkamah untuk membuat keputusan itu dari segi undang-undang.
“Kalau masih dipertikai itu tak ada masalah, dan sekarang Yang Berhormat dan beberapa Ahli Yang Berhormat bawa ke mahkamah, biar mahkamah tafsirkan.
“Saya tidak ada masalah sama sekali, sama ada memihak kepada tuntutan pemula ataupun pendirian kerajaan sebelum ini, kerana bagi kita, semua perjanjian tujuh belas itu diluluskan dan di mana peruntukan yang ada persamaan dan perbezaan.
“Dia ada hak mempertikai, tetapi soal Mahkamah Agung AS membuat keputusan yang mempertikai bidang kuasa tertentu, itu harus kita teliti,” katanya pada sesi jawapan menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid memberitahu beliau bersama ahli Parlimen Masjid Tanah, Pendang, Rompin dan Gerik akan membawa isu tersebut ke mahkamah untuk menilai tindakan kerajaan sama ada mengikut Perlembagaan atau sebaliknya.
Jumaat lalu, Mahkamah Agung AS menyatakan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh presiden untuk mengenakan tarif timbal balas ke hampir semua rakan dagangan AS adalah tidak berperlembagaan.
Trump juga didapati melampaui kuasa presidennya dengan menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) 1977 untuk mengenakan tarif global secara meluas serta duti berkaitan fentanyl yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.
Perdana Menteri juga mempertahankan tindakan dan keputusan yang dibuat bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam menandatangani perjanjian tarif timbal balas tersebut.
“Kita pasti pertahankan keputusan dibuat peringkat awal oleh Menteri MITI itu mengambil kira kepentingan negara.
“Kita adalah negara dagang dan dalam peruntukan-peruntukan itu kita boleh pertahankan, termasuk peruntukan menjamin keselamatan dan ekonomi negara.
“Itu cukup jelas, ikut fahaman saya, iaitu untuk mengekalkan mana-mana peruntukan yang ada itu tidak akan mengetepikan keselamatan negara dan kepentingan ekonomi Malaysia,” katanya.
Selain itu, kata Anwar, Trump masih mempunyai bidang kuasa presidennya melalui beberapa peruntukan dan kerajaan masih tidak boleh bertindak hanya berdasarkan kepada keputusan Mahkamah Agung AS semata-mata.
“Saya tidak mahu bahas bagi pihak Amerika, itu keputusan dia. Keputusan kita mesti guna apa juga kaedah untuk mempertahankan kepentingan kita.
“Kalau dibangkitkan umpamanya hanya kita harus bertindak berdasarkan keputusan Mahkamah Agung, saya rasa terlalu awal, tetapi kalau kita lihat ulasannya, masih ada peruntukan yang akan digunakan untuk mengetepikan perintah itu.
“Kalau kita lihat sistem di Amerika Syarikat, pentafsiran Mahkamah Agung itu adalah bahawa kuasa itu mengenakan tarif adalah kuasa Kongres. Jadi kita tunggu dulu. Itu sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















