MELAKA – Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM900 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini atas kesalahan mencuri pelbagai jenis produk kecantikan kulit untuk menyara empat anaknya awal bulan ini.
Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Joyleen Low Mei Ling, 31, sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencuri pelbagai barangan produk kecantikan kulit di sebuah premis Watsons di Batu Berendam, iaitu Ws Cream Body Scrub Oat & Cocoa 200g, Ws Cream Body Scrub Almond & Shea 200g, Skintific 3x Acne Spot 11g.
Skintific 5x Ceramide Low Ph Cleanser 50ml, Skintific Cover BB Cushion Porcelain 11g, Ws Pores Clear Clay Mask 100g, Ws Whitening Clay Mask 100g, G2G skin Tint 30g, G2G Cherry Blossom Micellar Water 300ml, G2G Glow Cushion 11g, Vircast GJ Massage Oil 200ml, Vircast RJ Massage Oil 200ml, Skintific Niacinamide Bright Moist 80g dan Skintific 10% Niacinamide Serum 50ml.
Kesemua barangan tersebut adalah milik seorang wanita dan disimpan di dalam bangunan berkenaan yang digunakan sebagai tempat simpanan harta benda.
Kesalahan itu dilakukan di premis Watsons, Batu Berendam kira-kira jam 5.30 petang pada 4 Februari 2026 yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, serta bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal.
Bagaimanapun, peguam Goh Chin Han merayu anak guamnya dikenakan hukuman denda minimum atau penjara paling singkat atas alasan merupakan ibu tunggal kepada empat anak berusia antara lapan dan empat tahun.
Menurutnya, tertuduh bercerai tahun lalu dan bekas suami tidak membantunya malah usaha tertuduh mendapatkan kerja juga gagal sehingga terpaksa bertindak demikian bagi mendapatkan modal memulakan perkhidmatan mencuci muka untuk menyara anak-anak.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari bermula dari tarikh hari ini dan denda RM900 atau penjara 21 hari jika gagal bayar. – MalaysiaGazette
















