KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan pihaknya mengeluarkan poster bertajuk New: Malaysia Passport & MyKad 2026 yang mengaitkan laman web rasmi JIM sebagai rujukan dan kini tular di media sosial.
Poster tersebut bukan dikeluarkan oleh JIM dan kandungan serta maklumat yang disampaikan adalah tidak sahih serta tidak mewakili sebarang pengumuman rasmi jabatan itu.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan dan sentiasa merujuk kepada saluran rasmi JIM bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berkaitan pasport Malaysia atau sebarang pengumuman dasar,” kata JIM dalam kenyataan.
Sebarang perkembangan rasmi akan dimaklumkan melalui laman web serta platform media sosial rasmi Jabatan Imigresen Malaysia. – MalaysiaGazette
















