KLUANG – Seorang penyelia ladang maut selepas motosikal ditunggang melanggar belakang sebuah van sekolah dalam kemalangan di Jalan Ladang, Ladang Bukit Benut di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 1.30 tengah hari melibatkan motosikal jenis Suzuki Smash dan van jenis Era Jinbei.
“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku semasa motosikal ditunggang mangsa iaitu seorang lelaki tempatan, Jefridin Jamaludin, 44, beralamat di Jalan 73, Taman Kluang Barat, dalam perjalanan dari kawasan ladang ke pintu utama Ladang Bukit Benut.
“Semasa tiba di tempat kejadian motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar van sekolah berkenaan yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 47 tahun,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Bahrin berkata, ketika kejadian van sekolah berkenaan sedang berhenti dan berada di arah bertentangan.
Katanya, penunggang terbabit yang tidak memakai topi kaledar mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara pemandu van sekolah berkenaan pula katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















