Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR – Suspek yang terbabit dalam kes tembakan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, telah ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses soal siasat terhadap suspek sedang dijalankan dan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman terhadap keselamatan negara.

“Keselamatan sempadan negara adalah keutamaan kami. Kami berjaya membuat tangkapan dalam tempoh kurang 24 jam.

“Keselamatan sempadan adalah keutamaan kami. Kami tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut beliau, jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan senjata, dadah dan pemerdagangan manusia, selain kemasukan pendatang tanpa izin serta kegiatan sindiket jenayah terancang sentiasa diberi perhatian serius oleh kementerian.

Saifuddin menegaskan, peranan AKPS adalah bagi memudahcara pergerakan orang ramai dan barangan tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

“Apa yang berlaku amat dikesali, namun kami bersyukur komander tersebut tidak cedera kerana tembakan hanya mengenai kenderaan,” katanya lagi.

Dalam kejadian kira-kira pada 5.40 pagi Rabu, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir, ditembak berhampiran sempadan Thailand.

Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian yang berlaku kira-kira satu kilometer dari sempadan negara.

Menurutnya, SAC Nasaruddin ketika itu dalam perjalanan untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Al Muhajirin sebelum dihampiri dua lelaki berpakaian hitam dan memakai topi keledar penuh yang menaiki sebuah motosikal. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast