Ibu tunggal, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, menunjukkan gambar anak lelakinya Syamsul Haris Shamsudin, 22, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di lapang sasar Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Ulu Tiram, Johor, pada Julai lalu yang disyaki menjadi mangsa buli berdasarkan bentuk kecederaan dan luka yang dialami pada sidang media di premis Naran Singh & Co, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 01 OGOS 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Ummu Haiman Bee Daulatgun bersyukur akhirnya individu yang menyebabkan kematian anaknya, Syamsul Haris Shamsuddin didakwa di mahkamah.

Meskipun begitu, beliau kecewa kerana Jabatan Peguam Negara mengubah pertuduhan kes di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan bukannya Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibuat pada 2 Disember tahun lalu.

Beliau turut menzahirkan rasa tidak puas hati kerana tidak dimaklumkan pertuduhan itu dibuat pada hari ini, sedangkan dia sekeluarga sentiasa bertanya kepada polis perkembangan terkini kes siasatan kematian Syamsul Haris.

“Kenapa kami tidak dimaklumkan lebih awal. Adakah ini cara mereka bekerja, tidak professional.

“Maklumat sebegini penting tidak dimaklumkan kepada pihak keluarga, adakah ini strategi untuk mengelak ahli keluarga hadir ke mahkamah?,” luahnya lagi kepada wartawan MalaysiaGazette.

Dalam masa sama, Ummu Haiman mendakwa, terdapat beberapa lagi individu yang terlibat dalam kes kematian anaknya itu dan sepatutnya didakwa sama.

“Lebih dari tiga orang terlibat dalam pembunuhan ini, kenapa hanya tiga orang sahaja yang dituduh?

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, seramai tiga jurulatih Palapes yang merupakan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dituduh menyebabkan kematian Syamsul Haris di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor pada jam 9 pagi tadi.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia telah menerima semula kertas siasatan melibatkan kematian kadet Palapes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh orang.

Menurunya, Peguam Negara telah mengeluarkan arahan agar pertuduhan ke atas tiga pegawai ATM itu dibuat di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh orang. – MalaysiaGazette

3 jurulatih ATM didakwa sebabkan kematian Syamsul Haris

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast