KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan dalam rakaman video tular di aplikasi TikTok, seorang pegawai polis menerima rasuah daripada pemandu kenderaan di tepi jalan raya di Jalan Persiaran Jalil Utama, Bukit Jalil di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya telah mengesan rakaman tular berhubung kejadian semalam didakwa berlaku sekitar jam 11.20 pagi pada Khamis.
“Hasil semakan mendapati, kejadian berlaku ketika empat pegawai polis sedang menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah di persimpangan masuk dan keluar Jalan Persiaran Jalil Utama dengan mengambil tindakan saman ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas.
“Semasa kejadian, anggota bertugas telah menasihatkan kepada pemilik kenderaan untuk mengalihkan kenderaan dan mendaftar aplikasi Volunteer Smart Phone Patrol (VSP) PDRM serta mengambil butiran pemilik kenderaan tersebut untuk tujuan rekod.
“Susulan itu, pihak polis telah mengeluarkan dua keping saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas pemandu dan kenderaan lain kerana menghalang lalu lintas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu katanya, polis mengingkatkan agar tiada mana-mana individu yang membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menyebabkan berlaku salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap penugasan pihak polis di lapangan.
Tegasnya, PDRM komited untuk terus memelihara integriti dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kepolisan demi keselamatan dan kesejateraan negara.
“Sekiranya ada mana-mana individu yang mempunyai maklumat lengkap dan sahih berkaitan perkara ini boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline
Polis Cheras di talian 03-9284 5050 / 5051 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” jelansya. – MalaysiaGazette
















