: JAINJ cekup janda bersekedudukan lebih tiga tahun sehingga lahir anak dalam serbuan di sebuah rumah teres di Kluang, semalam.

KLUANG – Bersekedudukan sehingga seorang janda muda melahirkan seorang anak yang kini berusia tiga tahun.

Perbuatan jijik itu terbongkar semasa penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di sini pukul 3 pagi semalam.

JAINJ dalam kenyataan memberitahu, serbuan di rumah milik pasangan tersebut dilakukan selepas penguat kuasa membuat persediaan mengepung kawasan rumah itu.

“Penguat kuasa menoleh sekitar rumah dan mendapati ada kereta milik pasangan ini di hadapan rumah. Keadaan di luar rumah terang.

“Dua penguat kuasa ditugaskan menjaga di pintu belakang bagi mengelak ada yang lari selamatkan diri,” menurut JAINJ dalam satu kenyataan.

JAINJ memaklumkan, penguat kuasa kemudian mengetuk pintu depan sambil memanggil mereka dengan kuat dan turut memberi salam tetapi tidak dijawab.

Maklum jabatan tersebut, lima minit kemudian pintu dibuka oleh seorang lelaki yang berseluar pendek dan memakai t-shirt.

Penguat kuasa masuk ke dalam rumah setelah memperkenalkan diri dan mendapati ruang tamu terang serta lampu terpasang.

“Penguat kuasa menemui seorang wanita di ruang tamu yang berpakaian seksi dengan baju dan seluar panjang ketat. Badan wanita ini kurus berpinggang ramping.

“Seterusnya penguat kuasa menemui seorang kanak-kanak sedang aktif bermain di ruang tamu. Ada banyak juga alat mainan kanak-kanak di situ.”

Jelas jabatan tersebut, hasil soal siasat mendapati pasangan berkenaan hanya duduk bersama-sama dan bukan suami isteri serta bukan juga adik beradik tiri.

Siasatan lanjut mendapati anak kecil itu adalah anak wanita berkenaan iaitu anak luar nikah mereka berdua dan mempunyai surat beranak tanpa nama bapa.

Pasangan berkenaan seterusnya mengaku telah tinggal bersama-sama di rumah itu lebih tiga tahun seperti suami isteri walaupun hakikatnya belum bernikah.

“Pemeriksaan lanjut dalam bilik utama mendapati katil berkecah seperti orang tidur. Di ruang tamu juga ada satu katil bujang.

“Di dalam almari ditemui kain baju lelaki dan wanita sekali harung.”

Apabila penguat kuasa bertanya sama ada ada hasrat untuk bernikah, mereka mengakui ada tetapi mempunyai sedikit masalah.

“Mereka ada cerita masalah peribadi mereka tetapi penguat kuasa cuma dengar saja tanpa memberi apa-apa komen dan cadangan.

Pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 23 dan 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 atas kesalahan berzina.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara arau enam kali sebatan- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast