Laluan Selat Hormuz

 

ISTANBUL – Laluan kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz menurun dengan mendadak susulan risiko keselamatan yang meningkat menyebabkan hampir semua transit terhenti, meninggalkan lebih daripada 700 kapal terkumpul di kedua-dua sisi laluan penting itu.

Terletak di muara Teluk Parsi, Selat Hormuz menghubungkan pengeluaran minyak dan gas asli cecair (LNG) dari Timur Tengah ke pasaran global melalui Teluk Oman dan Lautan Hindi.

Sekitar 20% daripada penggunaan minyak harian global, iaitu kira-kira 20 juta tong, melalui koridor strategik ini.

Susulan serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran hujung minggu lalu, kebanyakan pengendali kapal menangguhkan laluan kerana kos insurans yang meningkat mendadak.

Menurut analisis oleh firma data masa nyata Kpler, sebanyak 21 juta tong telah diangkut oleh 15 kapal tangki pada 27 Februari, meningkat kepada 21.6 juta tong oleh 18 kapal pada hari Sabtu.

Bagaimanapun pada 1 Mac, hanya tiga kapal tangki membawa 2.8 juta tong melintasi selat itu, lapor Anadolu.

Dengan purata aliran harian setakat tahun ini ialah 19.8 juta tong, penghantaran pada 1 Mac mencatatkan penurunan 86% berbanding purata 2026.

Penurunan mendadak ini menunjukkan kargo pada awalnya dipercepatkan keluar sebelum risiko meningkat, diikuti hampir berhenti sepenuhnya transit apabila keadaan merosot.

Sehingga kini, 706 kapal tangki bukan Iran sedang menunggu di kedua-dua sisi selat itu.

Daripada jumlah ini sebanyak 334 kapal tangki minyak mentah, 109 kapal membawa produk petroleum kotor dan 263 kapal mengangkut produk petroleum bersih.

Semua kapal ini berada di pelbagai lokasi di Teluk Parsi (barat selat), Teluk Oman (timur selat) dan Lautan Arab.

Walaupun operasi pemuatan minyak mentah diteruskan di dalam Teluk, pengurangan pelepasan ke arah timur melalui selat dan masa menunggu yang lebih lama untuk kargo melintasi titik sesak itu dijangka menunda ketibaan dan meningkatkan kos pengangkutan.

Susulan serangan tersebut, laporan mendakwa Pengawal Revolusi Islam Iran menghantar mesej “tiada kapal dibenarkan melalui” kepada kapal-kapal yang mahu menggunakan Selat Hormuz.

Meskipun dakwaan ini disiarkan kepada kru kapal yang beroperasi di Teluk Parsi melalui frekuensi antarabangsa VHF Channel16, tiada kenyataan rasmi yang mengesahkan penutupan rasmi selat tersebut.

Media Iran, bagaimanapun, mendakwa Selat Hormuz telah ditutup.

Beberapa kapal kontena dilihat membuat pusingan U untuk mengelak laluan air itu, manakala beberapa syarikat perkapalan kontena terkemuka dunia menangguhkan transit melalui selat kerana risiko keselamatan meningkat.

United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) berkata, tahap keselamatan maritim bagi Selat Hormuz telah dinaikkan ke kategori “kritikal”, tahap risiko tertinggi, susulan pengesahan beberapa serangan ke atas kapal komersial hujung minggu lalu di Teluk Oman berhampiran Musandam, dan perairan pesisir Emiriah Arab Bersatu. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast