Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail bercakap pada MalaysiaGazette di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diingatkan tidak mengambil sikap sambil lewa dalam menangani isu penghinaan Islam termasuk tindakan memijak al-Quran hingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, ketegasan kerajaan mempertahankan maruah agama menjadi kayu pengukur tahap komitmen sebenar mereka terhadap prinsip Perlembagaan.

“Tindakan tegas bukan sekadar satu pilihan, tetapi satu kewajipan moral dan politik.

“Rakyat sedang memerhati sejauh mana kerajaan berani bertindak tanpa pilih kasih dan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

“Kelewatan atau kelembutan tindakan penguatkuasaan hanya akan menimbulkan persepsi bahawa isu penghinaan agama tidak diberi keutamaan sewajarnya,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pada 25 Februari lalu, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.

Terdahulu, tular gambar kaki lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA itu di media sosial.

Fariz Hazurin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang berkata, kerajaan perlu memastikan siasatan dijalankan secara pantas dan hasilnya diumumkan secara telus kepada umum.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja satu penghinaan terhadap agama Islam, bahkan menyerlahkan kegagalan kawalan dan pencegahan lebih berkesan.

“Undang-undang mesti dikuatkuasakan dengan konsisten agar tidak timbul tanggapan wujud layanan dwi standard berdasarkan kedudukan atau kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, Fariz menyeru umat Islam agar mengekalkan ketenangan dan tidak terjerumus dalam tindakan di luar batas perundangan.

“Namun, ketenangan rakyat tidak boleh disalah tafsir sebagai kelemahan.

“Maruah agama adalah asas yang tidak boleh diperdagangkan dalam mana-mana percaturan politik.

“Saya akan terus memainkan peranan sebagai suara semak dan imbang dalam memastikan kerajaan bertindak selari dengan kehendak rakyat serta mempertahankan kesucian Islam dengan tegas dan bermaruah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast