TANGKAP layar video tular di media sosial berkenaan budaya kejut sahur dengan memukul gendang.

 

KUALA LUMPUR – Budaya kejut sahur dengan paluan gendang dan alunan zikir menggunakan pembesar suara seperti yang diamalkan di Indonesia tidak perlu dibawa atau diteruskan di negara ini.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle berkata, budaya itu tidak sesuai diamalkan di negara ini atas pelbagai faktor.

Antaranya, kata beliau yang juga penceramah bebas, tidak semua umat Islam dianjurkan untuk bersahur khususnya perempuan yang berada dalam nifas dan anak-anak kecil.

Selain itu, jelasnya, terdapat juga keluarga yang mempunyai bayi serta keluarga bukan Islam dalam kawasan kejiranan sama, yang mungkin terganggu dengan budaya kejut sahur seperti itu.

“Ini mungkin boleh menyebabkan bukan Islam tiba-tiba membenci Islam kerana budaya ini, sedangkan di dalam Islam sendiri pun tidak menyuruh dilakukan seperti ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menerusi hantaran sama, Muhamad Rozaimi turut berkongsi video budaya kejut sahur oleh sekumpulan individu yang memalu gendang dan berzikir menggunakan pembesar suara yang tular dipercayai berlaku di Balakong, dekat sini.

Video itu turut mengundang kecaman warga maya yang menyifatkannya tidak sesuai di negara ini kerana boleh mengganggu dan mengundang rasa kurang senang banyak pihak.

Sementara itu, beliau menambah, budaya itu tidak sama seperti azan yang dilaungkan lebih daripada sekali iaitu untuk mengejutkan sahur dan azan Subuh, yang tidak menjadi halangan dalam Islam.

“Jadi saya mengharapkan agar kita semua bersatu hati membantah perkara ini dan tidak perlu untuk dilakukan atau dikembangkan di Malaysia,” katanya.

Difahamkan, budaya kejut sahur dengan paluan kompang dan gendang serta alunan zikir menggunakan pembesar suara itu sudah diamalkan sejak sekian lama di Indonesia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast