KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan wujud gerakan terancang yang didakwa bertujuan mempertikai kerajaan sedia ada, susulan siasatan rasuah berskala besar yang sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Perdana Menteri, siasatan awal mendapati rancangan berkenaan telah dirangka sejak Ogos tahun lalu dengan garis masa sehingga pilihan raya umum akan datang.
Katanya, perancangan itu melibatkan dana besar, didukung warga tempatan dan disusun dengan strategi untuk mempertikai usaha kerajaan, termasuk melalui platform antarabangsa.
“Daripada rekod diperoleh, terdapat sekurang-kurangnya enam pertemuan pada tahun 2025 di dalam dan luar negara melibatkan syarikat, badan serta tokoh tertentu,” katanya ketika Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan, ancamannya terhadap demokrasi berparlimen serta sama ada siasatan melibatkan unsur penyelewengan atau penyalahgunaan wang negara.
Jelas Anwar, strategi gerakan berkenaan termasuk mendapatkan maklumat melalui ‘international round table‘, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, serta menghubungi media asing bagi membina naratif yang mempertikai kewibawaan kerajaan dan negara.
“Yang mendorong kegiatan ini adalah kerana siasatan rasuah oleh SPRM yang berskala besar. Itu yang menyebabkan mereka bertindak menggunakan kekuatan pengaruh luar dan dalam negara,” jelasnya.
Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa berdasarkan dokumen yang diperoleh, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















