Dr. Asmadi Abdul Rahman

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memaklumkan tidak mempunyai rekod pendaftaran pengislaman Vikneswaran a/l K. Selvanathan di negeri ini.

Ketua Pendaftar Mualaf Pahang, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, semakan dalam pangkalan data mendapati nama individu terbabit tidak tersenarai sebagai mualaf berdaftar di bawah seliaan pihaknya.

Beliau juga telah melakukan pemeriksaan silang dengan pihak berkuasa agama di beberapa negeri lain bagi mendapatkan pengesahan lanjut berhubung status agama penuntut berkenaan.

“Setakat ini, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur turut mengesahkan tiada rekod pengislaman bagi penuntut berkenaan.

“Bagi negeri-negeri lain, kami masih belum menerima maklum balas rasmi berhubung status pendaftarannya,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Jelas Asmadi, pihaknya juga telah menghubungi pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dakwaannya bahawa penuntut terbabit pernah melafazkan syahadah sebelum ini.

“Beliau masih belum memberikan sebarang maklum balas,” katanya.

Isu status agama pelajar berusia 21 tahun itu menjadi perhatian selepas Firdaus sebelum ini mendakwa lelaki berkenaan pernah melafazkan syahadah di hadapannya pada 25 April tahun lalu.

Pagi tadi, penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan berkaitan mencemar al-Quran serta membuat hantaran komunikasi jelik melampau menerusi media sosial.

Pada 25 Februari lalu, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki menghina Islam menerusi hantaran di laman sosial. – MalaysiaGazette

Pelajar pijak al-Quran seorang mualaf, dakwa Firdaus Wong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast