KUALA LUMPUR – Sebuah pusat pameran dan penjualan produk kesihatan secara tertutup kepada pelanggan diusahakan warga China tumpas dalam serbuan gudang di Subang Jaya, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan itu bermula jam 11.06 pagi itu, lapan warga China melibatkan tujuh wanita dan seorang lelaki ditahan.
Katanya lagi, kesemua tahanan itu disyaki menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Siasatan awal mendapati, gudang itu dijadikan sebagai pusat pameran dan penjualan produk kesihatan secara tertutup yang menyasarkan pelancong asing khususnya daripada China.
“Aktiviti itu juga dipercayai dijalankan secara tersusun dengan anggaran keuntungan antara RM200,000 hingga RM400,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, serbuan berasingan turut dilakukan pada hari sama di sebuah premis restoran di Bandar Sun Suria, Sepang sekitar jam 11.25 pagi dengan menahan 16 warga Myanmar disyaki bekerja tanpa permit sah.
Lima lelaki dan seorang wanita warga China disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dengan menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja di premis restoran makanan China juga ditahan.
Kesemua individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 62 tahun dan telah dibawa ke Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan Peraturan Imigresen 1963, jelasnya. – MalaysiaGazette
















