KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan penganalisis politik, James Chai, yang juga bekas pembantu kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, bagi membantu siasatan.
SPRM dalam kenyataan berkata, lelaki warga tempatan dikenali sebagai Chai Jin Shern atau James Chai dikesan dengan alamat terakhirnya di 10 Jalan Nikel 7/26A, Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Mohd Hafidz Abd Halim di talian 0175046503 atau emel kepada [email protected],” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chai sebelum ini berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Rafizi ketika Ahli Parlimen Pandan itu memegang portfolio Menteri Ekonomi.
SPRM sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian mega antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing yang dianggarkan bernilai RM1.1 bilion.
Siasatan awal SPRM mendapati perjanjian mega RM1.1 bilion dipercayai dimeterai secara tergesa-gesa oleh Kementerian Ekonomi.
Rafizi sendiri mengesahkan beliau sedia berdepan sebarang siasatan berhubung dakwaan salah laku dan rasuah membabitkan dua dasar utama kerajaan ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi. – MalaysiaGazette















