BEIRUT – Peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran mengenai pangkalan Al-Udeid di Qatar, pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) terbesar di Timur Tengah, menurut Kementerian Pertahanan Qatar pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kementerian itu dalam kenyataan berkata negara berkenaan menjadi sasaran dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran. “Sistem pertahanan udara berjaya memintas satu daripada peluru berpandu itu, manakala peluru berpandu kedua mengenai Pangkalan Al-Udeid Qatar tanpa menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.”

Kementerian itu tidak memberikan maklumat mengenai lokasi tepat impak peluru berpandu berkenaan atau kemungkinan kerosakan yang berlaku.

Al-Udeid, yang turut digunakan oleh pasukan Qatar dan Britain, terletak di pinggir Doha.

Iran sebelum ini telah menyerang pangkalan itu tahun lepas sebagai tindak balas terhadap pengeboman kemudahan nuklear Iran oleh AS.

Tentera Iran juga memaklumkan bahawa ia melancarkan serangan terhadap pangkalan itu sebagai tindak balas terhadap serangan bersama AS-Israel di seluruh Iran pada Sabtu.

Al-Udeid merupakan antara pangkalan AS paling penting di Timur Tengah. Menurut laporan, kira-kira 10,000 anggota tentera dan kakitangan awam biasanya ditempatkan di pangkalan berkenaan. Pangkalan itu juga berfungsi sebagai pusat perintah bagi operasi ketenteraan AS di rantau ini.

Ibu pejabat Markas Pemerintahan Pusat AS bagi Timur Tengah (CENTCOM) terletak di Tampa, Florida.- BERNAMA-dpa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast