SHAH ALAM – Polis sedang giat memburu dua lelaki bersenjatakan parang dipercayai menyamun seorang lelaki berusia 20 tahun di sebuah apartmen di Seksyen 13, di sini, tengah hari pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, dalam kejadian 1 tengah hari itu, mangsa tinggal seorang diri di rumah dan didatangi dua lelaki tidak dikenali.
“Suspek kemudian bertindak mengambil barangan seperti dompet mengandungi wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan kunci rumah serta kereta milik mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya, kedua-dua suspek juga membawa serta memaksa mangsa menaiki kereta mangsa sendiri ke sebuah Mesin Juruwang Automatik (ATM) berdekatan untuk mengeluarkan wang simpanan milik remaja terlibat.
“Sewaktu mangsa mengeluarkan wang, dia menyedari kehadiran orang awam lalu menjerit meminta pertolongan dan menyebabkan kedua-dua suspek melarikan diri menggunakan kereta milik mangsa,” katanya.
Ramsay juga berkata, pihaknya sedang giat mengesan untuk menangkap kedua-dua suspek kejadian samun bersenjata itu.
Katanya lagi, siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan menggunakan senjata.
“Undang-Undang ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103 bagi membantu siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















