Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 06 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Polis menahan enam lelaki tempatan termasuk tiga remaja bawah umur yang dipercayai merancang serangan terhadap balai polis dan rumah ibadat di negara ini melalui rangkaian komunikasi dalam talian.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mendedahkan, tiga daripada suspek berusia 18 tahun ke atas manakala tiga lagi berumur bawah 18 tahun.

Menurut beliau, kesemua mereka dikesan berhubung antara satu sama lain melalui beberapa kumpulan WhatsApp yang turut mempunyai kaitan dengan kumpulan dari negara jiran.

“Siasatan mendapati dalam perbincangan di dalam kumpulan WhatsApp itu terdapat isu-isu yang boleh menggugat keselamatan negara.

“Ini termasuk percubaan merancang serangan terhadap ketua polis dan juga tempat-tempat ibadat rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mohd Khalid berkata tangkapan dibuat pada Februari lalu hasil risikan Cawangan Khas di beberapa negeri termasuk Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu yang mengesan aktiviti tersebut telah bermula sejak kira-kira setahun lalu, dengan beberapa rangkaian dikenal pasti aktif sejak 2024.

Menurutnya, terdapat kumpulan WhatsApp yang melibatkan ahli dari beberapa negara dengan jumlah mencecah kira-kira 1,000 orang, manakala kumpulan tempatan pula beroperasi dalam kumpulan lebih kecil.

“Sebahagian kumpulan ini diwujudkan untuk membincangkan perkara berkaitan kegiatan keganasan, termasuk perancangan serangan serta cara menghasilkan bahan letupan,” ujarnya.

Beliau berkata pengaruh kandungan ekstremis di media sosial tanpa pemantauan awal menjadi antara faktor yang mendorong golongan muda terlibat dengan fahaman radikal.

“Pengaruh fahaman ekstrem sering bermula melalui perbincangan dalam kumpulan kecil sebelum mendorong individu bertindak secara bersendirian atau ‘lone wolf’,” jelas beliau.

Mohd Khalid berkata situasi itu pernah berlaku dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 2024 yang mengorbankan dua anggota polis dan mencederakan seorang lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan media sosial serta permainan dalam talian oleh anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada propaganda atau kandungan ekstremis.

Tambah beliau, polis masih meneruskan siasatan termasuk mengesan individu lain yang dipercayai terlibat, termasuk yang berada di luar negara melalui kerjasama dengan agensi keselamatan negara jiran.

Kesemua suspek dijangka didakwa di mahkamah minggu hadapan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 130J Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast