Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan terlibat dalam apa jua pertemuan di Bangkok, Thailand yang turut dirujuk oleh sesetengah pihak sebagai ‘Langkah Bangkok’.

“Sebarang pertemuan atau perbincangan yang dikaitkan dengan perkara tersebut adalah tidak melibatkan saya dan tiada kena mengena dengan saya.

“Saya berharap semua pihak tidak membuat spekulasi atau mengaitkan nama saya dengan perkara yang tidak berlaku,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi beliau, malam ini.

Terdahulu sebuah akhbar melaporkan, sumber beberapa parti mendedahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pertemuan tersebut turut dihadiri Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dan Menteri Besar Terengganu serta Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut sumber, pertemuan tersebut diadakan awal Disember tahun lalu ketika Timbalan Perdana Menteri dalam siri lawatan kerjanya ke negara jiran itu.

Sementara itu, Zahid ketika ditemui media hari ini, mengesahkan bertemu Hamzah pada tahun lalu antara lain bagi membincangkan mengenai isu penyatuan Melayu dan Islam.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagaimanapun, tidak menyebut nama-nama pemimpin lain yang turut serta dalam pertemuan tersebut selain Hamzah. -MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast