Marhamah dan Tuminah (kanan) menyantuni pesakit pada Program Singgah Sahur Sempena Bulan Wakaf Malaysia di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Melaka, pagi tadi.

MELAKA – Projek hospital pakar wakaf pertama negara bernilai RM270 juta yang bakal dibina di Semenyih menjadi bukti potensi besar sistem wakaf dalam membangunkan infrastruktur kesihatan untuk rakyat.

Hospital di atas tanah seluas 1.05 hektar itu akan menyediakan 261 katil dengan pelbagai kepakaran perubatan, beroperasi berlandaskan prinsip syariah dan model wakaf yang distrukturkan demi kelestarian dan misi sosial.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, pembinaan kemudahan itu dijangka dimulakan selepas Ramadan ini.


Marhamah (dua dari kiri) dan Tuminah (kiri) bertanyakan sesuatu kepada orang kurang upaya (OKU) pada Program Singgah Sahur Sempena Bulan Wakaf Malaysia di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Melaka, pagi tadi.

“Projek ini menjadi permulaan kepada usaha memperluaskan lagi pembangunan institusi wakaf termasuk hospital di negeri-negeri lain pada masa hadapan.

“Hospital wakaf pertama (negara) ini akan dibina di Semenyih yang mana majlis pecah tanah telah pun disempurnakan, dan kerja-kerja fizikal serta ‘piling’ dijadualkan bermula selepas Ramadan ini,” katanya.

Marhamah Rosli

Beliau ditemui pemberita pada Program Singgah Sahur Sempena Bulan Wakaf Malaysia di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor dan Hotel Puteri Bay di sini, awal pagi tadi.

Hadir sama ADUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wakaf Malaysia, Dr. Ridzwan Bakar.

Mengulas lanjut Marhamah berkata, selain hospital berkenaan, terdapat empat hotel telah dibangunkan di beberapa negeri menggunakan dana wakaf iaitu di Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

“Konsep wakaf ini sebenarnya tidak terhad kepada golongan kaya kerana sumbangan serendah RM5 juga boleh dibuat oleh mana-mana individu termasuk golongan B40.

“Ramai masyarakat lebih mengenali zakat, sedekah dan infak, tetapi wakaf masih kurang difahami sedangkan sumbangan kecil pun boleh memberi impak besar jika dilakukan secara berterusan,” katanya.

Marhamah (kiri) dan Tuminah (kanan) bertanyakan sesuatu kepada pesakit terlantar pada Program Singgah Sahur Sempena Bulan Wakaf Malaysia di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Melaka, pagi tadi.

Beliau turut mengambil contoh bagaimana hanya dengan sumbangan serendah RM10 sebulan daripada sejuta penjawat awam, sebuah hospital wakaf mampu dibina dalam tempoh kira-kira dua tahun, sekali gus membuktikan potensi besar sistem wakaf tunai di negara ini.

“Cuba kita bayangkan sejuta penjawat awam membuat potongan gaji RM10 sebulan untuk wakaf tunai, sebulan kita boleh kumpul RM10 juta dan dalam tempoh setahun jumlahnya sudah mencecah RM120 juta.

“Maknanya, kita hanya memerlukan sekitar dua tahun untuk membina sebuah hospital wakaf,” katanya.

Terdahulu, program itu menyaksikan sebanyak lapan rumah menerima sumbangan daripada Tabung Musa’adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Wakaf Malaysia berbentuk bakul makanan serta sumbangan tunai daripada Yayasan Taqwa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast