(Dari kiri) Majlis perasmian Kinderhub telah disempurnakan dengan kehadiran Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi; serta Samuel Swea, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Melody Kindyland

KUALA LUMPUR –  Melody Kindyland, antara penyedia pendidikan awal kanak-kanak bukan francais dilantik untuk membangun serta mengendalikan Kinderhub, pusat jagaan kanak-kanak eksklusif bagi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Melody Kindyland, Samuel Swea berkata, ia mencerminkan perubahan pendekatan organisasi yang kini melihat kemudahan penjagaan kanak-kanak sebagai keperluan infrastruktur tenaga kerja dan bukan sekadar inisiatif kebajikan.

Katanya, akses kepada pusat jagaan berkualiti mempunyai kaitan langsung dengan tahap penyertaan dan komitmen pekerja dalam sesebuah organisasi.

“Apabila pusat jagaan kanak-kanak beroperasi dalam persekitaran korporat, ia perlu mematuhi piawaian tadbir urus serta tahap ketelusan operasi yang tinggi.

“Pengalaman kami di peringkat nasional membolehkan kami memperkukuh dan menyesuaikan sistem pengurusan agar selari dengan keperluan serta jangkaan organisasi berskala besar.

“Sebelum ini, pusat jagaan kanak-kanak korporat di Malaysia agak terhad berikutan kos yang tinggi serta keperluan pentadbiran yang kompleks.

“Namun, persaingan mendapatkan bakat mahir, khususnya dalam sektor digital dan profesional yang semakin sengit kian mendorong majikan menilai semula bentuk sokongan yang mampu meningkatkan pengekalan tenaga kerja serta memperkukuh kedudukan mereka sebagai majikan pilihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

(Dari kiri) Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, turut menghadiri majlis perasmian Kinderhub sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif terbaharu ini.

Tambah beliau, peranan Melody Kindyland merangkumi perancangan pusat penjagaan, penyelarasan pematuhan piawaian dan peraturan, pengambilan tenaga pengajar serta pemantauan operasi harian.

Katanya, ia juga merupakan tanggungjawab yang menuntut keseimbangan antara kepakaran pendidikan dan disiplin pengurusan.

“Adaptasi dalam persekitaran korporat biasanya memerlukan dokumentasi yang amat menyeluruh serta pengukuhan sistem kawalan dalaman bagi memastikan tadbir urus yang lebih cekap dan telus.

“Organisasi besar sememangnya memerlukan ketelusan dari segi kos serta akauntabiliti. Justeru, kami sentiasa memperkemas dan menambah baik proses dalaman bagi memenuhi jangkaan tersebut,” jelasnya.

Mengulas lanjut katanya, bagi ibu bapa yang bekerja, kemudahan jagaan anak yang selamat dan boleh dipercayai sering menjadi faktor utama dalam mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga.

Justeru, penyediaan pusat jagaan oleh majikan kini semakin dilihat sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan modal insan.

Pada masa sama, syarikat itu optimis untuk memperluaskan model tersebut ke negeri-negeri lain dengan mengekalkan standard kurikulum serta latihan guru yang seragam.

“Fokus utama syarikat itu tetap kepada pembangunan awal kanak-kanak selaras dengan perubahan keperluan tenaga kerja masa kini.

“Penyediaan pusat jagaan anak di tempat kerja turut dikaitkan dengan peningkatan kadar pengekalan pekerja serta membantu ibu bapa kembali bekerja selepas cuti bersalin,”ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast