KUALA LUMPUR – Gara-gara seluar terlondeh dengan tidak sengaja, dipercayai menjadi punca seorang lelaki didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh di Terminal 2, Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) hingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu. .
“Hasil siasatan mendapati, kejadian tersebut berlaku pada 6 Mac sekitar jam 9.50 malam di kaunter MyBorder di kawasan ketibaan antarabangsa KLIA T2.
“Individu terbabit merupakan seorang lelaki warga India berusia 44 tahun dipercayai telah terlepas penerbangan yang dijadualkan pada 5 Mac jam 8.45 malam selepas tertidur.
“Ketika berada di lokasi kejadian, lelaki itu menggaru bahagian paha kanan sehingga menyebabkan seluarnya terlondeh selama kira-kira dua minit,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambah beliau, situasi itu disedari oleh kakitangan terminal yang berada di lokasi sebelum menegur lelaki terbabit dan membantu memakaikan semula seluarnya.
“Siasatan awal mendapati, tiada sebarang unsur perbuatan lucah yang disengajakan oleh lelaki terbabit.
“Kemudian wakil syarikat penerbangan telah menghubungi waris lelaki itu untuk diserahkan kepada pihak Kedutaan India dan individu itu dijangka pulang ke negara asal pada 14 Mac ini,” jelasnya.
Susulan itu, Ravi menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan kegusaran atau dianggap tidak senonoh di tempat awam.
“Tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham serta kegusaran kepada orang ramai terutama di kawasan tumpuan seperti lapangan terbang,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh berhampiran kaunter di KLIA 2 sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. – MalaysiaGazette
















