Penduduk PPR Kg Limau menunjukkan kawasan parkir berpetak telah diceroboh oleh pihak pemaju dengan pemasangan penghadang jalan.

KUALA LUMPUR – Para penduduk yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kg Limau, Pantai Dalam di sini menuntut hak kawasan parkir mereka dikembalikan semula selepas didakwa diceroboh oleh pihak pemaju kondominium.

MalaysiaGazette difahamkan oleh penduduk kawasan parkir itu akan dijadikan laluan dua hala untuk ke kawasan kondominium yang terletak berhampiran PPR tersebut.

Namun, menurut mereka, kawasan parkir berkenaan telah disediakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sejak mereka berpindah 20 tahun lalu.

Rata-rata penduduk berkata, ‘gangguan’ yang berlaku di kawasan letak kereta itu menyebabkan mereka sukar untuk memakir kenderaan, bahkan mendakwa kereta penduduk yang diparkir ditarik dan dipindahkan sesuka hati.

Rosmadi Darus

Menurut penduduk PPR Kg Limau, Rosmadi Darus, 63, pencerobohan tempat parkir itu menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk kerana sebelum ini pemaju telah mengesahkan tidak akan menganggu tempat tersebut.

“Sebelum ini pihak pemaju ada buat perbincangan dengan kami,  tidak akan kacau kawasan parkir di sini, tapi sejak tahun lalu mereka sudah mula tambah penghadang ini dengan sesuka hati tanpa maklum pada kami,” katanya dengan nada kesal.

Selain itu, tambahnya, penduduk di situ cukup gusar kerana terpaksa berdepan dengan kehadiran lori besar yang membawa muatan panjang dan memasuki laluan kawasan kediaman penduduk hingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan anak-anak.

“Ditambah projek jalan di belakang ini pun, mereka ikut suka hati bawa masuk lori besar. Ikutkan kawasan ini (PPR) dan mereka perlu ikut laluan yang sepatutnya di belakang blok sana. Saya sudah banyak kali pertikaikan hal ini tapi nampaknya tiada sebarang tindakan.

“Persoalan kami, siapa yang benarkan lori pemaju masuk di kawasan ini? Ini kawasan perumahan kami ditambah kanak-kanak bermain di sini, keselamatan tiada orang jaga,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, lebih 60 petak kawasan parkir telah dinaikkan penghadang jalan plastik sebagai tanda kawasan terbabit sudah diambil alih bagi menaikkan laluan bertingkat khusus untuk kediaman mewah di kawasan tersebut.

Mohd Hafifie Amir

Seorang penjawat awam, Mohd Hafifie Amir, 40, berkata, hampir setiap hari dia terpaksa pusing sebanyak tiga atau empat kali untuk mencari parkir di kawasan kediamannya apabila pulang pada waktu malam sejak penghadang jalan diletakkan di situ.

“Saya kesal dengan situasi ini, sebagai penduduk hak kami untuk parkir di rumah sendiri telah dihalang. Saya ni bekerja syif dan balik malam, bila balik parkir dah tentu bertindih (parkir).

“Kalau sebelum ini, boleh lagi parkir petak di belakang itu tapi disebabkan pihak pemaju sudah ambil hak kami bayangkan mana kami nak letak kereta? Apatah lagi kakitangan mereka pun ambil parkir penduduk,” ujarnya.

Beliau turut kesal kerana tindakan lori-lori besar di kawasan ini menyebabkan kenderaan mereka berdebu tebal, sekali gus terpaksa mengeluarkan kos untuk cuci kereta beberapa kali dalam seminggu.

“Bila ada keluar masuk lori besar di kawasan ini, kami juga terpaksa berdepan dengan habuk atau debu yang tebal menyebabkan kereta kotor dan saya perlu cuci empat kali seminggu dengan kos kira-kira RM17 untuk sekali cucian,” luahnya dengan nada kesal.

Wan Nulida Yusof.

Wan Nulida Yusof, 58, yang juga peniaga di kawasan itu mendakwa, gerainya juga kerap kali dipenuhi debu yang dibawa lori besar.

Jelasnya, penduduk sudah beberapa kali melaporkan masalah itu kepada pihak pemaju untuk lakukan siraman air di jalan utama namun tiada sebarang tindakan.

“Saya juga sudah adukan kepada persatuan penduduk di sini tapi masih sama tiada sebarang tindakan daripada mana-mana pihak. Selagi mana mereka menggunakan jalan utama di sini, sepatutnya siraman itu perlu dilakukan atas tanggungjawab.

“Alasan paling tidak masuk akal mendakwa lori air itu rosak malah saya pernah tengok tangki air dibuatnya lubang kecil dan keluar seperti air kencing sahaja, sampai sekarang nak meniaga bukan lagi debu di atas meja tapi pasir, saya malu nak berniaga macam ini sebab kita fikir kebersihan,” katanya.

Penduduk PPR Kg Limau melahirkan rasa kesal dan protes terhadap pihak pemaju yang menceroboh parkir mereka.

Dalam pada itu, penduduk juga mendakwa masalah yang berlarutan itu sudah sekian lama diadukan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kg Limau yang dilantik namun masih belum ada sebarang tindakan dilakukan.

Sehubungan itu, mereka mendesak pihak bertanggungjawab untuk turun padang dan membantu menyelesaikan segera permasalahan yang dihadapi penduduk sekitar terutama dalam menangani aspek keselamatan dan kebersihan di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kes yg sama pernah terjadi di Ulu Klang semasa proses pembinaan sedang berjalan, kecoh satu dunia bila liputan dibuat oleh Malaysia gezette..tetapi hilang terus bila pembinaan tamat.

Comments are closed.