Tertuduh, Maheran Abd Malik yang merupakan seorang penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Hulu Langat didakwa 16 pertuduhan termasuk lapan pertuduhan pilihan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu antara 2023 hingga 2024 ketika di Mahkamah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2026.

SHAH ALAM – Seorang penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Hulu Langat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini terhadap 16 pertuduhan termasuk lapan pertuduhan pilihan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu antara 2023 hingga 2024.

Tertuduh, Maheran Abd Malik bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut lapan pertuduhan itu, Maheran, 54, memperdaya Pegawai Kemas Daerah Hulu Langat suatu dokumen iaitu Borang Penilaian Pencapaian Output bagi Julai, September dan Oktober 2023 serta Januari, Februari, Mac dan April 2024 atas nama seorang pekerja Kemas, Abdul Hamid Khairudin, 28, yang mengandungi butir matan palsu.

Tertuduh didakwa melakukan pengesahan terhadap pencapaian output Abdul Hamid di mana individu itu tidak mencapainya kerana tidak hadir bertugas dan ia dilakukan bertujuan untuk mengelirukan prinsipal.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pejabat Kemas Daerah Hulu Langat di alamat nombor 10, 10A dan 10B, Jalan 6/7A, Seksyen 6, Bandar Baru Bangi pada 31 Julai, 1 September, 2 Oktober dan 30 Oktober 2023 serta 31 Januari, 29 Februari, 29 Mac dan 30 April 2024.

Bagi kesemua lapan pertuduhan itu, Maheran didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan jika dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu, bagi lapan pertuduhan pilihan pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi manakala tertuduh diwakili peguam Suzanawati Ismail.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 bagi kesemua 16 pertuduhan termasuk lapan pertuduhan pilihan dengan seorang penjamin warganegara tempatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selain itu, pihak pendakwaan juga mencadangkan syarat tambahan termasuk tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM Selangor dan tidak melakukan kacau ganggu terhadap saksi pendakwaan.

Peguam Suzanawati kemudiannya merayu agar anak guamnya diberikan jaminan antara RM8,000 hingga RM10,000 memandangkan notis pemakluman pendakwaan kes itu dimaklumkan pada saat akhir dan Maheran hanya berjaya meminjam RM10,000 daripada saudara-maranya.

Selain itu, Suzanawati memberi jaminan tiada risiko anak guamnya menghilangkan diri memandangkan anak tertuduh masih bersekolah di peringkat tingkatan tiga.

Hakim Awang Kerisnada kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan warga tempatan dan mesti menetap sama ada di Kuala Lumpur ataupun Selangor.

Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan di mana tertuduh wajib melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan bermula April 2026.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport dan tidak melakukan kacau ganggu terhadap saksi pendakwaan sama ada secara langsung ataupun melalui pihak ketiga.

Mahkamah turut menetapkan 13 Mei 2026 sebagai tarikh pengurusan dan sebutan kes tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast