Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar (tengah) memegang bungkusan plastik bertulis Daguanyin mengandungi daun kering disyaki dadah jenis syabu pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Polis merampas dadah disyaki syabu seberat 105.1 kilogram (kg) dan 116.3 kg bunga ganja yang bernilai kira-kira RM14.6 juta dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, antara 3 hingga 5 Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam serbuan sama, polis berjaya menahan enam individu termasuk seorang lelaki tempatan serta lima warga asing, masing-masing empat lelaki dan seorang perempuan.

“Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor bersama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menangkap seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing pada 3 Mac 2026.

“Hasil serbuan itu, polis merampas lima beg kanvas berisi 64 bungkusan plastik bertulis Daguanyin disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 105.1 kg.

“Kesemua dadah tersebut dijumpai di ruang belakang sebuah van jenis Nissan yang digunakan oleh suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan selepas memiliki dadah jenis syabu seberat 105.1 kg yang ditemui di ruang belakang sebuah van jenis Nissan pada 3 Mac 2026.

Shazeli berkata, hasil semakan awal mendapati suspek pertama berumur 34 tahun bekerja sebagai penghantar barang di sebuah syarikat kurier.

“Suspek ini berstatus bujang serta semakan rekod mendapati ada tiga rekod lampau berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.

Jelasnya, manakala semakan awal terhadap suspek kedua yang berumur 47 tahun pula mendapati, dia bekerja di sebuah kuil di sekitar Batu Caves, Gombak, berstatus berkahwin serta tiada rekod lampau dikesan.

“Kedua-dua suspek ini telah dibuat ujian awal saringan air kencing dan didapati negatif,” katanya.

Katanya, nilai rampasan dadah bagi kes pertama berjumlah kira-kira RM5.25 juta dan dipercayai ianya untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

Dalam serbuan sama, polis juga menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda yang dianggarkan bernilai RM2,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seorang lelaki warga asing ditahan kerana memiliki bunga ganja seberat kira-kira 27.2 kg yang ditemui dalam bagasinya di di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Mac lalu,” katanya.

Bagi kes kedua pula, polis menemukan 49 bungkusan plastik dalam sebuah bagasi yang mengandungi daun kering disyaki bunga ganja seberat kira-kira 27.2 kg.

“Penemuan dadah itu susulan penahanan seorang lelaki warga asing di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 Mac lalu,” katanya.

Susulan tangkapan itu, katanya, polis menahan seorang lelaki warga asing dipercayai salah seorang dalang utama sindiket dadah di sebuah premis kediaman di Kota Warisan, Sepang pada 4 Mac lalu.

“Hasil pemeriksaan awal ke atas premis tersebut, polis merampas sebuah bagasi berisi 25 bungkusan plastik mengandungi daun kering, disyaki bunga ganja seberat kira-kira 14.3 kg,” katanya.

Katanya, hasil soal siasat suspek tersebut, polis kemudian membuat satu lagi tangkapan terhadap seorang lelaki dan seorang wanita warga asing di sebuah kondominium di sekitar Mont Kiara, Kuala Lumpur, 5 Mac lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas premis tersebut, polis merampas sebanyak lima bagasi berisi 136 bungkusan plastik mengandungi daun kering disyaki bunga ganja seberat 74.8 kg,” katanya.

Jelasnya, keempat-empat suspek warga asing ini berumur antara 20 hingga 30 tahun, berstatus bujang dan memasuki Malaysia dengan menggunakan pas lawatan pelancong antara Disember 2025 hingga Februari tahun ini.

“Keempat-empat suspek ini dipercayai satu rangkaian sindiket dadah yang sama dan saringan awal ujian air kencing yang dijalankan mendapati dua dari empat suspek positif dadah.

“Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah sekitar RM 9.35 juta dan dipercayai untuk dipasarkan ke luar negara,” katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan sebuah kereta mewah BMW M4 yang disita dalam serbuan di Lembah Klang, 5 Mac 2026

Katanya lagi, polis turut menyita dua kereta yang digunakan suspek termasuk sebuah BMW M4, sebuah Proton Iriz serta merampas dua utas jam tangan mewah dan mata wang kripto dengan jumlah keseluruhan lebih RM870,000.

“Tindakan sitaan dan rampasan itu dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosiding Jenayah serta kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Katanya lagi, kesemua dadah yang dirampas itu berpotensi dibekalkan kepada kira-kira 738,000 penagih dalam tempoh sehari berdasarkan anggaran penggunaan 0.3 gram bagi setiap individu.

“Polis Selangor mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah bagi membantu usaha membanteras jenayah ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast