Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Ihya Ramadan Kementerian Pengangkutan 2026 di Putrajaya. Foto FAREEZ FADZIL, 11 MAC 2026.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui agensinya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyelaras pelaksanaan penguatkuasaan Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan (Road-Ban) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Menterinya, Anthony Loke berkata, larangan itu akan dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 19 dan 20 Mac (sebelum Aidilfitri) serta pada 28 dan 29 Mac (selepas perayaan).

“Setiap nyawa yang hilang di jalan raya adalah kerugian besar buat negara. Kita tidak mahu sambutan kemenangan Ramadan bertukar menjadi tragedi air mata hanya kerana sikap tidak sabar di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perhimpunan Bulanan dan Ihya Ramadan di Kementerian Pengangkutan hari ini.

Dalam pada itu, Anthony berkata, kementerian itu juga  memantau rapat perkembangan konflik di Asia Barat.

Jelasnya, rantau tersebut merupakan nadi kepada laluan perdagangan dan tenaga dunia.

“Sebarang konflik di sana mempunyai kesan rantaian langsung terhadap ekonomi dan sistem pengangkutan dunia. Sebagaimana pesanan Perdana Menteri, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersedia menghadapi segala kemungkinan,” katanya lagi.

Anthony turut menggesa agar rakyat di negara ini bersedia menjangka kemungkinan berlaku gangguan dalam tempoh penghantaran barangan import.

Mesyuarat Kabinet hari ini turut meluluskan memorandum Jemaah Menteri untuk meluluskan pembangunan Pelabuhan Pulau Carey yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Keputusan itu bagi memperincikan model pelaksanaannya iaitu akan meluluskan kepada permohonan Kerajaan Negeri Selangor sebagai peneraju pembangunan ini dan Kementerian Pengangkutan akan terus menjadi badan pengawas selia untuk memastikan projek ini dilaksanakan dengan teratur dengan baik.

“Kerajaan Negeri Selangor akan menubuhkan special purpose vehicle untuk bersama-sama dengan syarikat swasta untuk mendapat pelaburan swasta untuk membina dan mengoperasikan pelabuhan ketiga kita di Pelabuhan Klang.

“Jadi ini merupakan satu projek jangka panjang yang penting untuk negara, satu infrastruktur yang cukup besar dan cukup strategik,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey tidak boleh lagi ditangguh memandangkan ia merupakan projek strategik yang kritikal untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan logistik serantau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast