PELABUHAN KLANG – Agensi Keselamatan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan membawa syor untuk menangani isu sisa elektronik (e-waste) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan esok.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, beberapa syor akan dibentangkan susulan lambakan e-waste yang masuk melalui pintu utama negara semakin membimbangkan.
“Esok, saya bersama Ketua Pengarah AKPS, kami akan menghadap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kami akan bentangkan syor dengan isu yang ada sekarang dalam tangan bersama Jawatankuasa Bersama Bertindak.
“Saya mohon kepada orang ramai bila kita tengok satu-satu perkara macam ini, jangan kita tuding jari orang tapi kita fikirkan macam mana kita nak selesaikan masalah ini secara besar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke Majlis Iftar Perdana AKPS di Westport Malaysia Sdn Bhd, Pelabuhan Barat anjuran PadiBeras Nasional Berhad (Bernas).
Seramai 350 anggota dan kakitangan AKPS diraikan dalam satu majlis berbuka puasa sebagai penghargaan atas peranan mereka dalam menjaga keselamatan sempadan negara.
Dalam program sama, sebanyak 700 bekas bubur lambuk turut diagihkan kepada anggota yang sedang bertugas sekitar kawasan Pelabuhan Klang.
Ezanee juga berkata, pihaknya mahu menyelesaikan isu penahanan kontena yang disyaki mengandungi e-waste di pintu masuk utama negara termasuk menghantar semula ke negara asal secepat mungkin.
“Saya tak berani nak cakap bila penghantaran semula ke negara asal boleh selesai tapi sebolehnya proses ini saya nak dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Nak mulakan itu susah, tapi bila sudah bermula, dia akan senang, saya sangat positif keadaan semasa, kita tengok dalam masa terdekat Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















