KUALA LUMPUR – Berbeza daripada kebiasaan program Ramadan yang sering memfokuskan kepada anak-anak yatim, satu inisiatif komuniti di Shah Alam tampil dengan pendekatan luar kebiasaan apabila memilih untuk menyantuni golongan yang sering terpinggir iaitu klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang sedang menjalani proses pemulihan.
Program Iftar Kasih dan Harapan – Secebis Rezeki Sejuta Erti yang berlangsung di Surau Raudhah Al Muttaqin, Seksyen 4, Shah Alam baru-baru ini menghimpunkan komuniti setempat bersama klien AADK dalam satu majlis berbuka puasa yang sarat dengan mesej sokongan dan peluang kedua.
Program kebajikan sempena Ramadan itu dianjurkan hasil kerjasama Persatuan Pembangunan Usahawan Produktif (PPUP), Skuad AADK Daerah Petaling dan MAYC Kawasan Subang Jaya yang berganding bahu bagi menyantuni golongan berkenaan.
Pengerusi PPUP merangkap koordinator program, Izzat Zabir Sariff berkata, pendekatan tersebut sengaja diambil bagi memberi perhatian kepada kelompok masyarakat yang jarang diberi ruang dalam program kemasyarakatan.
“Berbeza daripada pendekatan kebiasaan program Ramadan yang sering memfokuskan kepada anak-anak yatim, inisiatif ini membawa perspektif baharu dengan memberi perhatian kepada kumpulan yang sering terpinggir,” ulas beliau.
Menurutnya, melalui semangat Ramadan yang menyatukan, pihak penganjur berharap program tersebut mampu menyemai harapan baharu selain memperkukuh solidariti masyarakat dalam menyokong usaha pemulihan dadah dalam kalangan komuniti.
Dalam majlis sama, para penerima yang terdiri daripada klien AADK dalam kategori asnaf dan B40 turut menerima sumbangan bakul makanan, duit raya serta baju raya bagi membantu persiapan menyambut Aidilfitri.
Sementara itu, Pengerusi Skuad AADK Daerah Petaling, Sadiq Naman menyambut baik kolaborasi tersebut yang disifatkan sebagai satu platform penting untuk komuniti bersama-sama agensi menjayakan usaha pemulihan.
“Klien AADK merujuk kepada individu yang pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kini sedang mengikuti program pemulihan yang diselia oleh AADK.
“Melalui program ini, kami berharap dapat menyantuni bukan sahaja klien, malah keluarga mereka agar terus mempunyai kekuatan, harapan serta keyakinan bahawa komuniti sentiasa bersama mereka dalam perjalanan membina kehidupan baharu,” jelasnya.
Dalam masa sama, program itu turut menonjolkan peranan golongan belia sebagai pemangkin komuniti dalam menyokong usaha pemulihan dadah, sekali gus membantu membentuk persepsi positif masyarakat bahawa proses pemulihan memerlukan sokongan kolektif bagi memastikan perubahan yang lebih mampan. – MalaysiaGazette















