Mohamad (tengah) menunjukkan LOD yang dikeluarkan ke atas empat individu yang didakwa menyebarkan fitnah berhubung pengurusan MAINPP dan zakat negeri itu pada sidang media hari ini.

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Zakat MAINPP telah memulakan langkah perundangan terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah berhubung pengurusan institusi berkenaan.

Bagi fasa pertama tindakan tersebut, surat tuntutan (LOD) telah dikeluarkan ke atas aktivis Pembela Tanah Air, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard; Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah serta Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Hafiz Alias.

Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP berkata, langkah tersebut diambil bagi mempertahankan reputasi serta integriti institusi agama Islam negeri daripada terus diperkotak-katikkan demi agenda politik pihak tertentu.

Katanya, tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan penyelewengan atau salah guna kuasa dalam isu yang dibangkitkan adalah tidak benar dan sengaja ditimbulkan pihak tertentu.

“Dakwaan yang ditujukan terhadap dirinya, Zakat MAINPP dan MAINPP juga tidak berasas serta bersifat fitnah selain mempunyai agenda politik untuk mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Mohamad.

“Tindakan ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan malah turut mencemarkan reputasi dan kewibawaan institusi agama Islam di negeri Pulau Pinang.

“Bagi mempertahankan reputasi dan integriti institusi ini, saya secara peribadi serta pihak MAINPP dan Zakat MAINPP telah memulakan proses tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.

“Saya akan mengambil tindakan lanjut bagi mempertahankan maruah serta kewibawaan institusi agama utama negeri ini daripada terus diperkotak-katikkan demi agenda politik pihak tertentu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, peguam yang dilantik, Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen berkata, pihaknya menuntut empat individu tersebut supaya menghentikan serta-merta penyebaran bahan dan penulisan penerbitan berunsur fitnah, membuat permohonan maaf secara terbuka serta memberi aku janji tidak mengulangi atau menerbitkan semula tuduhan berkenaan.

“Kami memberi tempoh masa tujuh hari untuk pihak berkenaan mengambil tindakan yang dituntut dan sekiranya gagal kami akan mengambil tindakan dengan memulakan prosiding mahkamah.

Datuk Habib Rahman.

“Selain empat individu berkenaan, kita turut dalam proses mengenal pasti beberapa pihak dan individu lain yang dipercayai menyebarkan kenyataan berunsur fitnah tersebut.

“Kami dalam proses pengesahan sebab ada yang menggunakan nama samaran selain ada berlindung di sebalik Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang tidak berdaftar jadi kami sedang mengenal pasti individu terlibat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Chegubard berkongsi kenyataan Penyelaras PETA, Azam Melaka berkaitan dakwaan penyelewengan wang zakat di sebuah negeri.

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.

Kertas siasatan tersebut turut dibuka susulan pendedahan yang dilakukan seorang ADUN dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penghujung tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast