Sumber : Jabatan Mufti Negeri Pahang

KUANTAN – Jabatan Mufti Negeri Pahang menafikan ada mengeluarkan sebarang dokumen surat rasmi berkaitan penetapan waktu Solat Sunat Aidilfitri bagi negeri itu.

Dalam satu kenyataan, pihaknya memaklumkan dokumen yang tersebar di media sosial itu adalah dokumen palsu.

“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihat agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta sentiasa merujuk kepada pengumuman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Pahang atau pihak berkuasa agama Negeri Pahang bagi mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya dalam kenyataan.

Pihak Jabatan Mufti Negeri Pahang juga tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya penyebaran dokumen palsu itu berterusan.

Justeru, pihaknya memohon kerjasama semua pihak agar mengekang penyebaran berita palsu tersebut.

Terdahulu, surat rasmi dengan tandatangan Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim ditujukan kepada Imam Besar Masjid Negeri tular di media sosial.

Antara kandungan surat itu menyatakan mengenai perkenan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah waktu solat sunat Aidilfitri bagi tahun ini ditetapkan pada 20 Mac ini pukul 8.45 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast