SUMBER: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,459 kes melibatkan pelaburan tidak wujud direkodkan dengan jumlah kerugian RM188 juta bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam kenyataan berkata, ia sekali gus menunjukkan peningkatan kes sebanyak 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Walaupun jumlah kes mencatatkan peningkatan, namun statistik nilai kerugian merekodkan penurunan berbanding tempoh sama pada tahun 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum melibatkan diri dalam sebarang bentuk pelaburan.

“Antara langkah pencegahan yang disarankan adalah memastikan syarikat yang menawarkan pelaburan memiliki lesen sah daripada pihak berkuasa kewangan.

“Selain itu, orang ramai juga perlu melakukan penyelidikan mendalam mengenai maklumat syarikat sebelum membuat sebarang keputusan,” jelasnya.

Dalam masa sama, tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak mudah terpengaruh dengan janji pulangan cepat yang tidak realistik dalam tempoh singkat.

“Orang ramai perlu mengelakkan pembayaran ke akaun bank asing yang tidak dapat disahkan serta mendapatkan bukti yang sah atau perjanjian bertulis.

“Mereka juga digalakkan berwaspada dengan sebarang taktik manipulasi emosi yang cuba memaksa atau menekan seseorang untuk melabur,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast