KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenakan moratorium serta-merta terhadap penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ke atas kanak-kanak.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus berkata, ia bagi memastikan kanak-kanak yang terlibat dalam kes perekrutan kepada kumpulan pengganas dilayan sebagai mangsa eksploitasi.
“Kanak-kanak terbabit perlu diberikan pemulihan serta perlindungan yang sewajarnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.
“Perdana Menteri perlu memansuhkan SOSMA atau meminda undang-undang prosedur tersebut dengan memperkenalkan pengawasan kehakiman serta perlindungan terhadap kanak-kanak.
“Ia bagi menghalang SOSMA digunakan secara sewenang-wenangnya terhadap golongan bawah umur itu,” katanya menerusi satu kenyataan bersama, hari ini.
Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru membenarkan remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa menganggotai kumpulan jenayah terancang, Geng Vincent dikenakan ikat jamin RM20,000 selepas mengambil kira pemohon tergolong di bawah kategori pengecualian termaktub Seksyen 13(2)(a) dan (b) SOSMA.
Hishamudin juga berkata, Malaysia perlu mengamalkan pendekatan berteraskan kanak-kanak serta berasaskan hak asasi dalam menangani ancaman baharu perekrutan ekstremis secara dalam talian.
“Melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi keganasan memerlukan sistem perlindungan kanak-kanak yang kukuh.
“Langkah pencegahan awal serta usaha pemulihan yang menyeluruh, bukannya penahanan keselamatan berpanjangan,” katanya.
Selain itu, katanya, Suhakam dan KRPPM kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan serta agensi penguatkuasaan bagi memastikan langkah-langkah membanteras keganasan di Malaysia dilaksanakan.
“Ia selaras dengan prinsip hak asasi manusia serta melindungi kepentingan terbaik setiap kanak-kanak,” katanya.
Suhakam dan KRPPM turut mengecam tindakan polis sebelum ini yang menggunakan SOSMA untuk menahan kanak-kanak yang menjadi mangsa perekrutan kepada kumpulan pengganas.
“Kanak-kanak terlibat sewajarnya diberikan perlindungan, pemulihan serta intervensi psikososial, mereka ini mangsa manipulasi dan indoktrinasi menerusi media sosial dan platform permainan dalam talian.
“Kanak-kanak ini tidak sepatutnya dikenakan penahanan keselamatan yang ketat,” katanya.
Suhakam turut mengingatkan pihak berkuasa agar mengutamakan mekanisme pemulihan dan pemantauan yang berstruktur, khususnya dalam kes di mana kanak-kanak mungkin telah menjadi sasaran cubaan perekrutan ekstremis dalam talian.
“Penahanan kanak-kanak di bawah SOSMA untuk menangani ancaman keselamatan negara adalah tidak selaras dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak serta menjejaskan komitmen Malaysia untuk melindungi mereka daripada eksploitasi.
“Penggunaan SOSMA terhadap kanak-kanak juga amat membimbangkan kerana undang-undang prosedur ini tidak menyediakan perlindungan khusus bagi kanak-kanak.
“Malah tiada pengawasan kehakiman serta perlindungan selari dengan sistem keadilan kanak-kanak yang mencukupi, khususnya dalam kes melibatkan kesalahan keselamatan negara,” katanya.
Menurut Suhakam lagi, Malaysia yang meratifikasikan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) sejak 1995 perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan setiap kanak-kanak dilindungi daripada penafian kebebasan secara sewenang-wenangnya atau bagi tempoh tidak munasabah.
“Pada masa sama, sistem keadilan hendaklah sentiasa mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak, menjunjung prinsip proses yang adil serta menjamin akses yang saksama kepada keadilan.
“Akta Kanak-Kanak 2001 menyediakan rangka perundangan jelas mengutamakan penjagaan, perlindungan, pemulihan dan kebajikan kanak-kanak, khususnya mereka yang terdedah kepada kemudaratan, eksploitasi atau pengaruh jenayah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















